Wednesday 11 June 2014

PERSIAPAN MENUJU BAITUL MUSLIM








Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah segala puji serta syukur kepada Allah swt. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w, Allahumma solli 'ala Muhammad.

Semoga semua sentiasa dalam lindungan rahmat dan kasih sayangNYA.


“Maha suci Allah yang menjadikan semua berpasangan, baik dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) mahupun dari sesuatu yang mereka tidak mengetahui.”
(Yaasin: 36)

Maha suci Allah yang menciptakan makhluknya berpasang-pasangan. Ayat di atas menjelaskan bahawa janji Allah itu benar. Setiap makhluk diciptakan dengan pasangan masing-masing. Bila dan dimana seorang itu bertemu dengan pasanganya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Mungkin di dunia, mungkin juga diakhirat.  Antara tauladan yang boleh kita ambil daripada Rasulullah s.a.w adalah bagaimana baginda membina sebuah keluarga yang mawaddah sakinah dan rahmah. Baginda s.a.w seorang suami yang begitu bertanggungjawab kepada ahli keluarganya. Sama ada dalam memberi nafkah zahir atau batin. Lebih-lebih lagi dalam mencurah ilmu agama kepada isteri dan anak-anak. 

" Gagal merancang bagaikan merancang kegagalan"


Apabila kita tidak melatih diri membuat perancangan dalam hidup ini, sudah pasti kita akan rugi. Sebaliknya manusia yang merancang perjalanan hidupnya dengan baik, dia mampu melakukan sesuatu dengan lebih efektif, berhemah tinggi, bersemangat waja, fikiran yang matang dan emosi yang seimbang. Ayuh kita latih diri kita merancang kehidupan termasuk merancang dalam membina sebuah baitul Muslim. Sebuah keluarga tidak bahagia dengan sendirinya tanpa persiapan yang baik dan mantap. Apa pun hakikatnya Allah jualah sebaik-baik perancang!





Memang setiap daripada kita mengimpikan sebuah rumah tangga yang indah " Baiti Jannati, Rumahku Syurgaku". Tetapi demi mencapai keluarga yang diberkati tidaklah semudah mengukir senyuman manis di bibir. Sedangkan mengukir senyuman pun masih sukar bagi  sesetengah orang. Sebab itu perlunya persiapan daripada segi mental dan ilmu dengan secukupnya. 


Maka, faktor utama yang paling penting perlu ditanam pada awal perkahwinan adalah memperbetulkan niat dengan seikhlasnya semata-mata kerana Allah. Niatkanlah mahligai perkahwinan sebagai satu ladang amal, janganlah berkahwin kerana nafsu semata ataupun kerana alasan yang lain yang tidak ada kaitan dengan agama sehingga mengaburi hikmah pernikahan yang ditetapkan oleh Allah.


Selain itu, niatkanlah ikatan pernikahan sebagai jalan bagi menyempurnakan ibadah kita kepada Allah. Sebab itu pentingnya setiap daripada pasangan yang ingin membina masjid supaya lebih serius dalam perbetulkan niat terlebih dahulu. Namun tidaklah terlambat bagi mereka yang sudah berkahwin, jika mungkin ada yang sudahpun berkahwin membaca tulisan saya ini, teruslah perbaiki dan perbetulkan niat dan membina kesungguhan diri dalam melayari bahtera rumah tangga. Saya doakan semoga Allah berkati pernikahan yang telah kalian bina.


Dari sinilah kita perlu menyedari bahawa sebelum melangkah ke alam pernikahan, kita perlu buat persiapan semaksimum mungkin. Kerana sesungguhnya sebuah persiapan yang baik insyaAllah akan mampu membuahkan hasil yang baik juga.


Dalam membuat persiapan kita juga tidak sepatutnya sekadar menumpukan pada proses perkahwinan sahaja. Kenapa dan mengapa?





Ini kerana kita belum tentu lagi dapat berkahwin. Siapa sangka walaupun persiapan sudah cukup, tiba-tiba ajal tiba sebelum sempat mengecap hari-hari bahagia rumah tangga. Kerana sesungguhnya bernikah dengan manusia itu belum pasti, tapi bernikah dengan kematian itu sudah pasti. Jadi elakkan diri terlalu sibuk dengan memikirkan hari perkahwinan, kerana tiada siapa yang dapat menduga ajal menjemput kita sebelum pernikahan berlansung.


Apa yang perlu kita fikirkan adalah sentiasa bersiap sedia jika kelak kita ditakdirkan berkahwin. Tidak juga semestinya menunggu bertemu calon baru hendak mempersiapkan diri. Bahkan sekarang, saat ini meski belum bertemu jodoh kita harus persiapkan diri. Umpama seangkatan tentera di Malaysia contohnya, beribu jumlahnya, tapi tidak semua yang akan pergi berperang, hanya sebahagian sahaja namun setiap masa kesemua mereka akan sentiasa mempersiapkan diri. 


Begitu juga halnya dalam membuat persiapan perkahwinan. Oleh itu apa persiapan yang sepatutnya? Ibarat hendak mendirikan sebuah bangunan, perkara utama yang perlu adalah perancangan rapi, pembiayaan yang secukupnya, bahan-bahan pembangunan dan lain-lain. Dalam mendirikan rumah tangga, kita perlu persiapkan diri kita menjadi hamba Allah yang terbaik, bersedia menghadapi dan menerima siapapun jodoh kita kelak, kerana sudah pasti dia memiliki ciri-ciri yang berbeza dengan kita. Kedua orang tuanya, latar belakangnya bahkan hobinya mungkin juga berbeza. Bahkan mungkin banyak lagi perbezaan yang belum kita ketahui. 


Mungkin hanya sekadar ini yang mampu saya kongsikan berkaitan baitul Muslim. Hanya sekadar perkongsian dalam persediaan dan persiapan awal. Kerana saya juga masih belum mendirikan rumah tangga, mana mungkin untuk saya bercerita bahkan mungkin cuba untuk berimiginasi terlalu tinggi berkaitan perkahwinan, sekalipun saya mencuba saya percaya ianya belum pasti mampu memberi rasa atau menyentuh hati kerana saya belum masuk menempuhnya lagi. InsyaAllah satu hari kelak jika jodoh saya di dunia maka akan muncul la perkongsian baitul muslim seterusnya berkaitan kehidupan di alam rumah tangga pula.




" Ya Tuhan kami, anugerahlah kepada kami, isteri dan zuriat yang menyejukkan mata, dan jadikanlah kami, imam bagi orang yang bertakwa".
 (Al-Furqan ayat 74).


Apa pun nasihat saya buat semua yang masih belum bertemu jodoh, bersabarlah, teruskan menjaga hati, belajar dan terus belajar. Doakan selalu buat jodohmu meski kita tidak tahu dia siapa dan dimana. 


salah kah mereka yang berdoa agar dipertemukan jodoh? gedik ka mereka yang selalu berfikir dan berusaha untuk mendapatkan jodoh?


Masih ada segelintir manusia yang berfikiran jumud dalam hal ini. Menganggap mereka yang berdoa dan berfikir mengenai jodoh ini tidak sepatunya berbuat  demikian. Sama sekali bukan begitu. Lupakah kita bahawa pernikahan itu juga satu ibadah? lupakah kita bahawa berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang baik itu satu tuntutan agama?

Biarlah mereka berdoa dan terus berdoa atau berfikir berkaitan jodoh. Kerana kita tidak pernah tahu berkemungkinan pernikahan itu nanti akan menjadikan mereka insan terbaik dalam beramal dan beribadah kepada Allah. Siapa kita untuk menilai?

Tapi tegurlah dan bimbinglah agar selari dengan tuntutan agama, dan jangan berlebih-lebihan sehingga terbuaian dek lamunan dan khayalan fantasi cinta buatan yang belum pasti, apatahlagi sehingga membuat kita lupa kepada Allah dan hari akhirat. Berdoa pada tempatnya, yakni tadah tangan dan sujud di tikar sembahyang. Bukan berdoa di muka buku dan merintih di sepanjang wall facebook.


" Tiada cinta paling selamat melainkan selepas diijab qabulkan. Dan tiada cinta paling abadi dan paling tinggi melainkan cinta kepadaNYA "


Jadilah anak yang soleh dan solehah terlebih dahulu. Yang perempuan jaga diri dan maruah diri elok-elok, biar kelak jadi seorang isteri yang bijaksana dalam setiap tingkah laku dan bicara. Yang lelaki belajar dan terus belajar ilmu dunia dan agama, selain itu usahalah untuk 'cipta kerja' atau kukuhkan kewangan juga, bukan kerana perempuan atau sesebuah keluarga perempuan itu materialistik. Tidak, sungguh hanya bimbingan dari seorang suami yang boleh membawanya ke syurga itu yang didambakan oleh setiap wanita.Tetapi melalui usaha kamu dalam adanya perancangan terhadap kewangan itu menunjukkan yang kamu seorang lelaki yang ada rasa tanggungjawab dan bersungguh-sungguh untuk mendirikan rumah tangga.






" Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar  kahwin la. 

Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. 

Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la.

 Benda yang baik, jangan dilambatkan dan jadilah pasangan muda yang Bercinta Selepas Nikah.

*faktor usia bukan penghalang, jika sudah bersedia. "



" Jika belum mampu membuat syaitan menangis, jangan kita buat mereka ketawa "


" Cintailah Allah, insyaAllah kita akan akan dicintai oleh mereka yang juga mencintai Allah "


Semoga Allah redha.














Sunday 8 June 2014

HAWA DIRIMU ADALAH FITNAH?







Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, Allahumma solli 'ala Muhammad

Segala puji bagi Allah atas segala nikmat terutamanya nikmat iman dan Islam yang kecapi pada hari ini.

Kalau dalam entry sebelum ini saya berkongsi perihal wanita, insyaAllah kali ini sekali lagi ingin menyentuh sedikit soal wanita. Moga-moga semua yang membaca termasuklah saya sendiri mampu mengambil pengajaran, peringatan dan manfaat daripada apa yang akan saya kongsikan. Sungguh apa yang saya coretkan kali ini adalah berdasarkan beberapa rujukan yakni bahan bacaan. Sekiranya ada sebarang kesilapan mohon perbetulkan saya.

------------------------------------------------------------------------------------------





Hawa, dirimu adalah fitnah?

Bila sentuh soal ini, saya yakin pasti ramai yang tahu tentang fitnah ini, tapi fitnah kita sebagai manusia (an-nas ) yang juga membawa maksud pelupa. Kita selalu lupa tentang hal ini, malah kadang buat-buat lupa.

Dalam dunia akhir zaman ini, dunia yang penuh dengan kemajuan ini, kita akan dapati wanita juga seiring bersama kebangkitan dan kemodenan. Tetapi, jika kita cakna kita akan lihat dan dapati ada segelintir kaum hawa yang mencampakkan diri mereka ke dalam fitnah sama ada sedar atau tidak sedar. Terutamanya terhadap agama kita sendiri.

Said ibn al-musayyab berkata ”setiap kali syaitan berputus asa mengganggu seseorang maka dia akan melancarkan gangguannya melalui wanita”

Sabda Rasulullah s.a.w : 

" berhati-hatilah kalian daripada godaan dunia dan waspadailah terhadap wanita, sebab fitnah pertama yang menimpa bani israel adalah fitnah wanita " ( HR MUSLIM)

dalam sebuah hadis lain lagi Nabi s.a.w bersabda :

" tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya daripada seorang lelaki daripada fitnah wanita" (HR BUKHARI)

Bila sebut wanita ini fitnah, bukanlah bermaksud wanita itu jahat dan suka kepada keburukan. Tidak. Tetapi sebenarnya yang dimaksudkan ialah keadaan mereka mampu menjadikan lelaki lupa dan lalai jika mereka tidak memahami dan tidak berhati-hati.  Namun seandainya kita kaum hawa mampu menjaga diri sebaiknya mengikut acuan Islam dan syariat Islam, insyaAllah kita bukan sahaja mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan ummah tapi mampu melahirkan syabab dan mujahid yang hebat insyaAllah.

Sebab itu juga biasa kita akan dengar pepatah " dibelakang seorang lelaki yang berjaya, pasti ada seorang wanita yang hebat"

Ayuh saya nak ajak semua tidak kira kaum hawa ataupun kaum adam, kita telusuri kisah kehidupan seorang wanita yang kehidupannya banyak dijadikan tulang belakang seorang lelaki yang cukup hebat.

Siapakah wanita itu? 

Sudah pasti dialah Saidatina Khadijah Binti Khuwailid r.a. , isteri tercinta Rasulullah s.a.w


Mengapa saya ingin bawakan kepada semua kisah wanita ini? Kerana hakikatnya juga, wanita-wanita pada hari ini lebih menjadikan artis-artis sebagai idola dan pujaan hati dalam diri mereka untuk dicontohi.

"Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan darinyalah aku mendapatkan keturunan."

MasyaAllah, begitulah Rasulullah s.a.w berkata tentang keperibadian Khadijah r.a,. Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam.

Siti Khadijah r.a berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang cukup banyak serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas. Bukan sekali atau dua kali pemuda kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya. Tetapi pilihannya justeru jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad s.a.w, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh kekayaan dan kecantikan yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah r.a

Saidatina Khadijah r.a merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan RasulNya. Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah. Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah s.a.w. 

Adakah kita wanita dan para isteri di luar sana mencontohi sebagaimana peribadi Ummul Mukminin ini? Sanggup bersusah-payah bersama suami meskipun seorang yang kaya-raya. Dan adakah kita kaum hawa yang kelak juga mungkin bergelar isteri, sudah bersedia mencontohi peribadi Ummul Mukminin ini?

Apabila ditanya tentang Siti Khadijah r.a atas pemergiannya, Rasulullah s.a.w menjawab, "Ya! Sesungguhnya Khadijah adalah pentadbir dan suri rumah yang terbaik."

Buat saya dan semua yang membaca, apakah kita mampu menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira' seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya? Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh. Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya. Persoalannya, dapatkah kita jika sebagai suami dan isteri berlaku demikian untuk diri dan tugas masing-masing?

Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata,
 " Wahai suamiku, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kamu adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab. Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah."

Sememangnya, wanita-wanita yang begitu tinggi darjatnya dalam Islam dalam lipatan sejarah suatu masa dahulu semakin dilupakan.


Kesetiaan yang mendorong kegigihan

Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran kesetiaan Khadijah yang telah membina kekuatan pada diri dan kehidupan penegak risalah Islam itu. Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah s.a.w, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah s.a.w agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang.

Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah s.a.w, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.

Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah s.w.t. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Allah Maha Adil dalam memberi rahmatNya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan. 

Firman Allah yang bermaksud:

"Barang siapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." (An-Nahl: 97)

Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah s.a.w, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua. Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang soleh wa solehah. Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah s.a.w merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT. Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.


Allahu Akbar * menangis *


Ayuh muslimah, mungkin tak mudah tapi marilah kita berusaha untuk mencuba mencontohi Khadijah r.a serta berusaha untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Kerana saya percaya bidadari itu memang wujud di dunia. Itulah dia wanita solehah  * senyum *

Semoga Allah redha.






Friday 6 June 2014

Wanita solehah






Wahai muslimah sayang, tahukah dikau betapa Allah dan Rasul sangat memuliakanmu?
Tahukah dikau bahawa Islam mengangkat darjatmu di tempat yang istimewa?

Betapa susah payahnya Rasulullah s.a.w dan para sahabat menegakkan syiar Islam.
Kerana Itu wanita yang dulunya ( sebelum kedatangan Islam) dianggap pembawa malang, wanita dihina bahkan ditanam dan dibunuh hidup-hidup.

Namun setelah datangnya Islam, Allah mengangkat darjat wanita di tempat yang mulia sehingga di antara khutbah terakhir Rasulullah s.a.w baginda berpesan :

" Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik,berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia.Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. "

Lihatlah, betapa kasihnya Rasulullah kepada kita, jika kita sayangkan baginda, jika hargai perjuangan dan pengorbanan baginda, maka sayangilah diri kita dengan melaksanakan perintah Allah.



Wahai Muslimah, bentenglah dirimu dengan sifat malu.
Berusahalah untuk menutup auratmu dengan sempurna.
Ukhti sayang, suatu hari nanti kita akan dibalut dari hujung kepala hingga hujung kaki.
tolong, jangan jadikan itu hari pertama aurat kita tertutup dengan sempurna!

Sesungguhnya cantik dalaman kerana iman dan akhlak yang indah, cantik luaran kerana aurat yang ditutp dengan sempurna.

Labuhkanlah sedikit tudung itu sayang, sehingga ianya menutupi dadamu. Dengan itu kamu akan terpelihara dari menjadi bahan tatapan lelaki yang punya penyakit hati.

Ukhti sayang, stokin tu tak berat namun ketahuilah ianya mampu menutup keaibanmu. Sarungkan stokin di kakimu, nescaya kamu akan kelihatan sangat cantik. Bukan semata cantik di mata manusia, tapi cantik dimata Allah. 



Ukhti sayang, sungguh dirimu cukup cantik, bahkan tersangat cantik. Maka simpanlah segala gambar yang keterlaluan hanya buat tatapan insan yang halal untukmu.

Bila maruahmu engkau pelihara, auratmu engkau tutup sempurna, akhlak peribadi dan pergaulan engkau jaga, InsyaAllah engkau akan lebih dihormati.


Sungguh nak jadi muslimah sejati tak mudah,
Mukminah lagi susah,
Mujahidah juga payah,
Istiqamah lagi lah payah,

Namun....

Susah payah itu jangan kau endah,
Kau harus gagah,
Harus tabah,
Demi Allah
Demi Rasulullah
Kerana akhir itu pasti indah ! :')

Diriku...
Bukan bidadari yang turun daripada syurga,
Aku tidak sempurna bahkan penuh dengan dosa,
Aku yang sederhana dengan apa yang dipunya,
Aku tak semulia  Khadijah r.a,
Tidak setaqwa Aisyah r.a,
Tidak selembut Fatimah r.a,
Tapi, itu bukan alasan. Aku akan belajar untuk jadi seperti mereka,
Aku hanya wanita akhir zaman yang berusaha untuk menjadi lebih baik.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Apabila seorang wanita itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)


Muslimah sayang...

Al'maratul solehah khairun mina dunya wa ma fiha. Wanita solehah itu lebih baik dari dunia dan isinya.

" Dan dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah" (HR.Muslim )

Dirinyalah bidadari bumi, dirinyalah wanita solehah yang keberadaan dirinya lebih baik dan bererti dari seluruh isi alam ini. MasyaAllah.

Buat yang telah pun berhijrah menutup aurat dengan sempurna, alhamdulillah saya doakan semoga kita istiqamah dan sentiasa dalam naunganNYA.

Buatmu Muslimah...

Tak perlu nak diheboh -heboh yang kau muslimah bertudung labuh,
Tak perlu nak diheboh -heboh yang kau seorang muslimah berpurdah,
Gambarmu tak perlu ditayang-tayang, menjadi tatapan yang bukan mahram.
Gambarmu sebaiknya disimpan, menjadi tatapan yang layak pandang.


Jika hijrahmu kerana Allah,
Tak kau hiraukan pujian orang,

Jadilah muslimah yang mengejar jannah, bukannya mengejar dunia yang mewah.

Jadilah muslimah yang menjaga maruah, seorang yang tabah, seorang muslimah yang solehah.. ^_^


Jom sayang jadi solehah. Semoga Allah redha.




Wednesday 4 June 2014

KEK BATIK


Bismillah, seterusnya nak berkongsi resepi kek batik pula hari ni. So far ini satu-satunya kek yang menjadi idaman hati seluruh isi rumah di antara banyak-banyak kek yang pernah saya buat. eheh.Kek lain kena banyakkan practice lagi. Fighting *Senyum *
berikut saya kongsikan resepi kek batik mengikut citarasa saya sendiri.

kek batik by Siti Nuur Zaleha Binti Rosdiansah

bahan-bahan

- Biskut marie ( patah-patahkan)
- 2bj telur
- 5 sudu Milo
- 5 sudu susu pekat ( boleh agak2 sendiri asalkan cukup manis)
- 150g butter / mentega
- coklat masakan

cara buat :

1) Sediakan loyang 
2) Satukan semua bahan di atas kecuali biskut ke dalam kuali. Kacau hingga adunan pekat dan sebati. ( menggunakan api kecil)
3) Matikan api, masukkan biskut yang telah dipatah-patahkan tadi. Gaul rata bersama adunan (2)
4) Kemudian masukkan dan mampatkan ke dalam loyang.
5) Sejukkan kek, seelok-eloknya semalaman sebelum dipotong.

untuk mencantikkan dan menyedapkan lagi, saya akan tambah topping coklat di atas kek batik yang telah dimampatkan tu dan tabur sedikit cip coklat.

Siap dihidang. Selamat mencuba ^_^

RESEPI TOMYAM







Bismillah alhamdulillah

Allahumma solli 'ala Muhammad

Alhamdulillah lama rasanya tidak berkongsi resepi masakan

Hari ni berpeluang untuk mencuba sekali lagi resepi tomyam dengan menggunakan pes dan perencah tomyam buatan sendiri.

Kalau sebelum ni guna perencah tomyam dan kiub tomyam yang dijual dekat kedai. Semalam discuss dan sharing berkaitan cara masak tomyam dekat group " resepi ringkas" di facebook. Apa lagi terus try buat tengah hari tadi. Eheh. Terima kasih kepada semua. Semoga Allah balas dengan sebaik-baik ganjaran atas perkongsian resepi yang sedap ni.

Selesai masak sahaja, mak abah terus rasa dulu. Dup dap dup dap tunggu respon mak abah

mak : Terima kasih nur, sedap sangat anak mak masak. Berselera mak makan.
abah : sedap ( sambil terus menerus menghirup kuah tomyam)

haha beza sangat lelaki dengan perempuan. Abah punya komen simple giler. " sedap" tapi cukup membuatkan ku tersenyum lebar gitu. Semangat nak terus belajar masak *senyum *

Jom berkongsi resepi

Bahan-bahan pes tomyam

- 3 biji tomato
-5 ulas bawang putih
-8  biji bawang merah
- 4 keping daun limau purut ( buang bahagian tengahnya, kalau tak nanti pahit)
- Seinchi halia

- Belacan sedikit
- 3 batang serai ( potong-potong)
- 4/5 cili padi (mengkut tahap kepedasan yang diinginkan)

( blender semua bahan di atas )

Cara - cara masak

1) Tuang sedikit minyak ke dalam periuk
2) Tumis semua bahan yang sudah diblender di atas sehingga naik bau
3) Masukkan air asam sebanyak yang diinginkan
4) Masukkan lauk utama ( ayam/daging/udang dll )
5) Biarkan lama sedikit, kemudian masukkan sayur-sayuran yang diinginkan
6) Masukkan garam dan gula secukup rasa

Biarkan sehingga masak sepenuhnya, dah nak dekat masak atau dah masak bolehlah letak sedikit air perahan limau nipis bagi menambahkan lagi rasa tomyam.

DAH SIAP ! Selamat mencuba ^___^