Saturday, 24 May 2014

RAHSIA DIRI DISAYANGI






Bismillah, Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, Allahumma solli 'ala Muhammad
Segala puji bagi Allah atas segala nikmat iman dan Islam yang kita perolehi pada hari ini.

Semoga semua sentiasa tenang, bahagia dalam rahmat dan kasih sayangNYA.

Setiap daripada kita pasti ingin dikasihi, dicintai, disayangi dan dihormati bukan? Justeru apa yang harus kita lakukan?

InsyaAllah hari ni tertarik untuk berkongsi TIPS dan Rahsia untuk diri disayangi dan dihormati

Sungguh saya juga masih berusaha untuk mengamalkannya, maka dengan itu saya kongsi dengan semua berdasarkan apa yang saya baca, lihat dan dengar *senyum*



1) Bangun dan tegur - Bila mana kita melihat ada dalam kalangan insan yang kita sayangi melakukan perkara yang salah atau mungkin tidak betul pada pandangan kita, maka bangunlah dan berilah nasihat dan teguran daripada hati.

" Teguran yang datang daripada hati, insyaAllah akan mampu menyentuh hati"

Bak kata Ustaz Kazim, gunakan suara base. Eheh

Allah juga telah berfirman dalam surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud
" Serulah ( manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik "

Malah, jika kita telusuri sirah Baginda saw, kita akan temui ramai yang jatuh cinta dan menghomati baginda kerana akhlak dan tutur kata baginda. Rasulullah seorang yang sangat berhati-hati dan menjaga bait dan tutur kata dalam berbicara apatahlagi dalam menegur seseorang. Andainya jika kita kaji lagi, kita akan menjumpai pendekatan yang indah sehingga mampu memberi impak yang positif kepada para sahabat pada ketika itu.
Rasulullah bukan sekadar bijak dalam menyampaikan dakwah, tapi baginda sendiri mendahului apa yang diajarkan.

Kaedah teguran yang sering baginda gunakan juga adalah dalam bentuk pujian. Dalam ilmu berkaitan psikologi moden juga mengatakan bahawa pujian merupakan satu elemen kepada pencetus ransangan ke arah positif. Namun Rasulullah sudahpun mendahului dan mengamalkan elemen tersebut sejak awal lagi. 

Teringat kalam Habib Ali Zaenal Abidin 
" Konsep dakwah Rasulullah saw penuh dengan kelembutan, kelembutan jika digunakan pasti berkesan, kurang-kurang pun tidak mendatangkan mudarat. Tetapi kekerasan digunakan walaupun tujuannya baik pasti akan memberi sedikit kemudaratan. Tidak dipergunakan kelembutan  kepada kekasaran kecuali kelembutan pasti menang, dan tidak digunakan kekerasan kepada sesuatu pasti mendatangkan keburukan"

SubhanaAllah sungguh pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang terbaik. Masakan tidak ramai yang jatuh cinta dan menyayangi Baginda. Sollu 'alan Nabi *wipe tears*

Maka ayuh kita sebagai ibu bapa, suami, isteri, sahabat, guru, jiran, kakak, adik, abang, sepupu, PANDAkwah...eh * mata panda* 

Bangunlah, pujilah dan tegurlah dengan penuh kasih sayang bil hikmah
InsyaAllah kita akan disayangi dan dihormati.



2) Berpakaian kemas - Seorang salesman datang menghampiri kita, berkongsi perihal kecantikan, kesihatan dan sebagainya, namun mukanya masam, bajunya kusut masai, rambut tidak terurus dan sebagainya, lalu apa agaknya respon kita pada ketika itu? 

Dan bagaimana pula jika salesman yang datang tadi pakaiannya kemas dan rapi, wajahnya ceria dan penuh keyakinan, secara tidak lansung penjelasan yang diberikan juga mampu meresap ke dalam diri sehingga pelanggan merasakan produk yang ditawarkan itu sangat sesuai untuk dirinya.

Begitulah juga kita sebagai seorang daie, malah kita perlu lebih daripada itu kerana seorang pendakwah produknya adalah wahyu Allah swt dan apa yang hendak disampaikan kepada sasarannya mestilah bukan bersifat 'kelentong' atau bukan berbentuk rekaan.

 " we are represent our religion"

Mungkin ada yang mengatakan jangan lihat orang yang menyampaikan itu, tetapi lihatlah apa yang disampaikan. Benar saya akui kebenaran kata-kata ini, namun dari sudut lain, bila mana kita berada bersama masyarakat, dihadapan orang lain, cuba kita tanya kepada diri kita, mata kita, bukankah kita suka akan kecantikan dan kekemasan? bukankah Allah juga suka akan keindahan? bukankah Rasulullah juga seorang yang sangat mementingkan kekemasan dan kebersihan diri?

Bukanlah bermakna kita mesti berpakaian cantik dan mewah, tidak.
Tetapi haruslah kita pastikan agar pakaian kita sopan, kemas, bersih, tidak serabai bahkan wajib dalam keadaan menutup aurat dengan sempurna

Dengan ini insyaAllah orang lain akan tertarik untuk mendekati kita, menghormati kita bahkan menyayangi kita.



3) Qiamulail yakni bangun solat malam - Carilah masa dan peluang untuk ambil sedikit masa dating dengan Allah pada waktu malam. 

Solat tahajjud termasuk salah satu amalan utama setelah menunaikan solat fadhu. Dalam surah al-Isra ayat 79 Allah berfirman 

" Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji"

Sungguh bukan mudah, tapi berusahalah bermujahadah, ambil wudhuk dengan sempurna, solat dengan penuh rasa kehambaan, sujudlah dengan hati yang dambakan keampunan dan keredhaanNya.

Rasulullah saw adalah contoh terbaik orang yang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan solat malam. Sehingga diriwayatkan kaki baginda bengkak dan pada ketika itu
 Saidatina Aisyah r.a. yang melihat keadaan kaki Rasulullah bertanya kepada baginda 
" Kenapa Engkau memaksa diri seperti ini ya Rasulullah? padahal Allah telah mengampuni dosa- dosamu yang telah lalu dan akan datang"

 Baginda saw menjawab " tidak bolehkah aku menjadi hamba yang pandai bersyukur"
 -HR MUSLIM-

Muhammad Bin Abdullah, seorang Rasul kekasih Allah. Walaupun nabi maksum tetapi tetap memiliki amalan yang cukup luar biasa. kita? cuma hamba hina penuh dosa yang sibuk bermimpi inginkan jannah tapi.... *dush tutup muka *

Ketahuilah dalam solat malam itu terkandung 1001 rahsia buat mereka yang berfikir.

" Sesungguhnya di waktu malam ada suatu waktu yang tidak akan ditemui oleh seorang Muslim yang berdoa kepada Allah dari kebaikan dunianya dan keselamatan akhiratnya, melainkan Allah kabulkan permintaannya itu pada setiap malam(bila ia terus melakukan qiamullail
 - HR MUSLIM -

Doalah, mohonlah sungguh-sungguh, menangislah, tadah tangan mohon keampunan dan kasih sayangNYA.

Bila cinta Allah kita raih, insyaAllah kita akan disayangi manusia bahkan disayangi oleh penduduk langit. MasyaAllah.

sama-samalah kita saling berusaha untuk memperbaiki diri, sungguh segala yang saya coretkan di atas adalah teguran buat diri saya sendiri khususnya. Semoga Allah redha.










Monday, 12 May 2014

TEGURAN BUAT AKU








Bismillah alhamdulillah, lama rasanya pena tidak menulis di teratak ini. Semoga semua sentiasa ceria dan dalam NaunganNYA

Tersentap dengan sebuah perkongsian daripada sahabat. Seakan kepala dihempuk oleh sesuatu. Terus sedar daripada berangan tak sudah.

 " Entahlah..
Kita ni banyak sangat bercerita tentang kahwin, berbanding bercerita tentang mati.. sedangkan tak semua orang akan berkahwin, namum semua orang akan mati.

Mungkin sebab kahwin itu nikmat dunia, manakala kematian itu pemutus nikmat dan sebaik-baik nasihat.
Siapa la suka dengar nasihat sangat.. orang suka benda nikmat ja..
Hmm.. "


Alhamdulillah terima kasih kepada Allah, kerana saya tahu ianya teguran daripada Allah, perkongsian itu hanya asbab dan perantara sahaja.

kerana memang 2 3 4 menjak ini diri asyik berfikir soal kahwin kahwin dan kahwin melebihi fikir pasal mati. Allah...

" biasalah tu dah ada calon"  kalau dah ada mungkin wajar jugaklah asyik fikir pasal kahwin. Tapi kerana belum la maka saya mulai sedar diri. Mungkin kerana kerap sangat melihat dan membaca perkongsian daripada kenalan-kenalan yang sudah bernikah berkongsi sakan "keromantikan" mereka di muka buku buat diri terusik untuk berfikir kerap sangat mengenai perkahwinan. Astaghfirullahal adzim semoga saya anda dan kita semua dihindarkan daripada suka mempamerkan "keromantikan" rumah tangga di alam maya. 

" Jadi tak boleh lah nak cerita dan fikir soal jodoh, kahwin semua tu"

Tidak saudara-saudaraku sayang, bukanlah begitu.

Hakikatnya tidaklah salah untuk untuk berfikir dan bercerita soal jodoh, kahwin dan seumpamanya. 

Cuma yang menjadi salah bila mana kita bercerita soal itu, melebihi tuntutan untuk kita sentiasa mengingati mati.


Ini sedikit perkongsian daripada saya,

Kahwin

Dulu( masa kurang matang) nampak orang kahwin, rasa nak kahwin,
Nampak baby comel-comel rasa nak jugak, baca bab kahwin angau nak kahwin, semangat keterlaluan Mengalahkan orang yang ada calon.
Sibuk beritahu mak abah kata nak kahwin awal. Directly they said no no no. " calon takda lagi, belajar tak habis lagi, tak payah fikir dulu"

Sekarang ( dah matang.haha boleh la) nampak orang kahwin, senyum alhamdulillah seronok untuk mereka, nampak baby comel-comel bahagia akan indahnya kurniaan Allah, baca bab kahwin lagi 'semangat' nak kahwin. Tapi 'semangat' yang ini diiringi rasa kerdil betapa banyaknya yang perlu dipelajari.
Lebih banyak mendiamkan diri, dah tak pernah cakap nak kahwin je dekat mak abah, tapi kadang mereka sendiri yang tanya dan berkongsi berkaitan perkahwinan.

Actually benda ni semua Allah dah aturkan cantik untuk kita.
Kita tak perlu nak 'merengek' nak kahwin. InsyaAllah the day will come. Tidak di dunia, di akhirat.


Sekali lagi bagi saya tidak salah untuk kita bercerita, berfikir bab jodoh, kahwin dan seumpamanya.
yang salah bila yang bercerita dan berfikiran itu, keterujaannya keterlaluan sehingga tidak sedar bahawa 'usaha' ke arah pernikahan yang diidamkannya itu kosong kosong kosong.


Niatkanlah pernikahan itu semata-mata kerana Allah, dan sesungguhnya pernikahan itu merupakan satu ibadah.


" Ingat dalam dunia ini ada dua golongan manusia yang cerdik. Pertama, mereka yang sentiasa mengingati mati. Kedua, mereka yang melakukan apa jua pekerjaan , pekerjaannya bukan sekadar terhenti di dunia,namun pekerjaannya menuju ke akhirat walaupun dirinya masih di dunia " 

Belajar dan terus belajar
Ingat Mati, Jaga Hati,  Hiasi peribadi
Sekian perkongsian dari insan hina penuh dosa..


Siti Nuur Zaleha Binti Rosdiansah

Semoga Allah redha.

Wednesday, 7 May 2014

MAHAR


Rasulullah S.A.W bersabda, bermaksud:

" WANITA yang paling berkat ialah yang paling MURAH MAHARnya dan mudah urusan perkahwinannya.

Saudari,

Seharusnya kamu sedar ketika kamu meminta mahar mahal sedangkan lelaki yang melamar kamu tidak memiliki sesuatu yang kau pinta. Maka kau telah kehilangan keberkatan perkahwinan itu, kerana kamu telah mempersulitkan sesuatu yang baik bagimu iaitu sebuah pernikahan.

Seharusnya kamu mempermudahkan maharmu, mempermudahkan jalan lelaki yang hendak melamarmu. Kerana ini sunnah Rasulullah Alaihi Wasallam. Sebenarnya seorang wanita sangat memerlukan pendamping, apabila kamu tolak gara-gara wang hantaran padahal dia seorang lelaki muslim yang soleh, maka rugilah kamu.

Saudara,

Mudahnya seorang wanita dengan maharnya, jangan kamu meremehkan harga mahar tersebut dengan memberikan mahar ala kadar. Lantas, kemanakan kemuliaan wanita yang akan mendampingi dirimu?

Kamu telah memiliki harta yang melimpah, kau telah kukuh dengan keadaanmu. Namun, kamu lalai kerana wanita yang hendak kau nikahi tak menuntut mahar tinggi terhadapmu.

Seharusnya kamu sedar bahawa mahar adalah bentuk penghargaan yang memuliakan wanita. Betapa Rasulullah sangat memuliakan wanita, begitu pula dengan mahar-mahar yang tinggi pada isteri-isteri baginda


Sekadar perkongsian bersama buat kita semua. Semoga Allah redha.

FITNAH PETUNJUK ISTIKHARAH



FITNAH PETUNJUK ISTIKHARAH
-------------------------------------------------
Ustaz, saya dan tunang saya sudah hampir ke tarikh pernikahan kami. Tetapi tunang saya telah secara mendadak memutuskan pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat seorang perempuan lain dan setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu adalah pilihan sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah. Bagaimana pandanga
n ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang saya sangat terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada petunjuk Allah? Di mana silap saya, ustaz?”

Sepucuk emel dihantar kepada saya.

Beristighfar dan mengurut dada.

Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.

Malah di kalangan pelajar universiti, Istikharah semakin popular di dalam trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah membuat pilihan untuk mereka. Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang disangka petunjuk, kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu adalah tunang orang, suami orang, malah ada juga isteri orang. Bertindak atas nama ‘petunjuk Allah’, tercetus permusuhan sesama anak Adam.

Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan ‘petunjuk’ penuh mudarat dan zalim itu?

MEMBELAKANGKAN ILMU

Penyakit besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah tanpa ilmu. Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan rakan-rakan yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain. Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’?

Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam.

Mengira huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf dan mencari petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.

Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:

“Ada sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas”

Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.

Istikharah itu bermaksud meminta bantuan daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada pun pilihan yang berada antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh, maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan yang sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan pilihan yang tidak baik itu.

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:

Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).

Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.

ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH

Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah.

Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:

“Tidak akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”

Biar pun para Ulama berselisih pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik. Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian dengan berusaha.

Setelah beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat.

Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah Syaitan.

Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri

Berhentilah mencari mimpi.

Berhentilah menunggu petanda.

Beristikharah memanggil kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).

Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.

Ia mungkin mainan Syaitan.

“Sebahagian (daripada umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayah” [Al-Aa'raaf 7: 30]

KESIMPULAN

1. Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam kehidupan. Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang mengundang bahaya.
2. Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan kepada Istikharah.
3. Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk melihat buruk baiknya.
4. Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah.
5. Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah kepada Allah mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
6. Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan.
7. Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai kewibawaannya.
8. Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan.
9. Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka kepada belitan Iblis.
10. Jauhi Bid’ah dan Syirik.
11. Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu.
12. Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan yang dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah dan kebaikan daripada Allah.
13. Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di dalam ruang lingkup keharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat sebagai mekanisme jodoh.
14. Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.
15. Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama.

Artikel di atas di ambil daripada blog ustaz Hasrizal Jamil...http://saifulislam.com/?p=8020
ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/

HATI


Awal kelahiran setiap manusia Allah hadiahkan kita dengan HATI yang bersih, suci, putih tanpa noda.

Itulah fitrah manusia "SUCI, BAIK, TANPA NODA."

HATI adalah rahsia kepada pemilik hati.

"Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami tampakkan, dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit" (Ibrahim : 38)

Allah hadiahkan kita sekeping hati untuk memandu hati kita kepada Allah.

Allah sentiasa ADIL kepada hamba-Nya dengan memberi teman kepada HATI iaitu AKAL.

HATI merupakan KING kepada jasad.

Tanpa akal, hati tiada guna,
Tanpa hati, akal juga tidak berguna,

"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya, bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada."
(Al-Hajj : 46)

HATI yang HIDUP adalah HATI yang sentiasa:
# mengingati Allah setiap detik
# menjauhi diri daripada sifat mazmumah
# tersentuh dengan ayat Al-Quran
# menangisi dosanya (nangis sorang-sorang lagi baik, ketika sujud di waktu malam)
# Dan semua perkara POSITIF yang tak tersenarai di atas 


InsyaAllah, semoga saya dan juga kamu menghargai HATI supaya tujuan HIDUP kita mencapai OBJEKTIF PENCIPTA..

P/s : saya pun dalam proses untuk DISK CLEAN UP & DISK DEFRAGMENTER hati supaya laju untuk buat kebaikan..insyaAllah semoga Allah redha. 



Friday, 2 May 2014

SUNNAH & ADAB DI HARI JUMAAT

Allahumma solli 'Ala Muhammad

" Biar gambar berbicara" 

"senyum"








HADAPI UJIAN DENGAN KETENANGAN


 Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t, alhamdulillah segala puji dan syukur ke atas Allah s.w.t

Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Sayyidul Ayyam, Penghulu segala hari. Semoga sentiasa dalam naunganNYA.

Lama rasanya tidak berpuisi, mencoret pena melakar sanubari.

Petang semalam ambil masa beberapa jam bersama buku " Men are from Mars, Woman are from venus "

Hanya sempat baca beberapa chapter sahaja, memandangkan mata dan badan seakan memujuk untuk berehat.

Buku  ini sangat bagus untuk kita cuba memahami lelaki dan perempuan. Kadang kita sendiri tidak faham akan diri kita, dan bila saya baca buku ni saya semakin faham akan diri saya sendiri khususnya.

" perempuan yang stress dan mengalami masalah tidak terfikir mahu mencari jalan penyelesaian kepada masalahnya, sebaliknya dia mencari kelegaan dengan meluahkan perasaannya dan menjadikan dirinya difahami "

Saya mengangguk tatkala membaca kenyataan di atas. Sungguh perempuan memang sifatnya sedemikian, suka untuk bercerita dan berkongsi masalah dengan orang-orang yang dipercayainya. Bukan untuk mencari simpati atau empati, hanya untuk melegakan hati.




Ujian,
 Setiap manusia pasti diuji di dunia sementara ini.
Setiap manusia punya masalah tersendiri.
Dan Allah punya rahsiaNya tersendiri
Di sebalik ujian yang menimpa diri.

Ujian
Sama ada Allah nak tambah iman kita
Atau nak lihat sejauh mana keimanan kita
Dan kerana sesuatu ujian itulah yang biasanya membuka mata hati kita
Mendidik agar kita tidak mudah berputus asa
Bahkan ianya mampu mematangkan kita

Ujian
kadang kita mencari insan yang sudi mendengar
Sehingga kita terlupa pada DIA yang Maha Mendengar
Kita anggap kita ditimpa musibah yang besar
Padahal ada lagi yang diuji sama bahkan lebih besar

Alihkan pandanganmu kearah laut
Airnya cantik membiru dan penuh ketenangan
Tetapi hanya Allah sahaja yang tahu rahsia di dalamnya.

Begitulah juga dengan kehidupan kita sebagai HambaNya.
Riang dan ketawa hanya Allah yang tahu rahsia kehidupan kita
Alihkanlah pandangan mu ke arah sungai nun disana
Airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu  menghalangnya

Tanpa disedari air mata turun tanpa henti
Ku biarkan saja ia terus mengalir sendiri
Ku alih pandangan ke langit yang biru dan tinggi
hati memujuk " dirimu tidak sendiri"

Dekatkanlah diri pada Dia yang memegang hati
Semoga dipermudahkan jalan penyelasaian akan masalah yang dihadapi
Cari kembali kekuatan dalam diri
Kerana sesungguhnya Allah itu dekat dihati 
Jika kita benar-benar memahami

Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan
Kerana dia tidak pernah puas sehingga kita merasa lemah
Hadapilah ujian dengan ketenangan
Semoga kita redha dengan ujian Allah