Tuesday, 11 November 2014

Sense Of Belonging

Kita akan benar-benar merasai kehilangan sesuatu itu hanya sekiranya sesuatu itu ada mengambil sedikit ruang di ingatan dan juga di hati kita. Kita tidak akan merasai kehilangan sesuatu itu sekiranya kita tidak pernah mengambil berat kehadirannya, kewujudannya dan peranannya. Kita juga tidak akan merasai kehilangan sesuatu benda yang tidak kita hargai dan tidak kita ingini dalam kehidupan kita. Bahkan mungkin, kehilangannya akan menghadirkan rasa lega, rasa tenang, rasa seronok dan rasa ‘ringan’ di bahu kita. Kerana akhirnya, benda atau sesuatu yang tidak kita sukai itu, telah hilang dari hidup kita.
Kenapa sesetengah kehilangan itu benar-benar menyedihkan kita?
Kesedihan hanya akan mengiringi kehilangan sesuatu yang kita cintai.
Kita tidak akan menangisi kehilangan sesuatu yang kita benci.
Kerana itulah, kalau kita perasan, perjuangan dan dakwah ini selalu menuntut perkara-perkara yang kita cintai daripada kita. Allah SWT selalu bertegas dalam urusan perkara-perkara yang kita cintai ini.
Firman Allah SWT di dalam surah At Taubah, ayat ke-24, bermaksud,
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
Kenapa kecintaan yang berlebihan terhadap perkara-perkara diatas mendapat ancaman keras daripada Allah?
Kenapa perjuangan Islam selalu menuntut pengorbanan perkara-perkara yang kita cintai seperti diatas?
Ikhwah Akhowat sekalian, jawapannya adalah kerana kita tidak pernah memiliki walau satu pun daripada semua nikmat yang disenaraikan tersebut. Keterikatan dan kebergantungan kepada sesuatu yang TIDAK KITA MILIKI akan menyebabkan kekecewaan yang amat sangat apabila kita KEHILANGANNYA atau diminta MENINGGALKANNYA. Kita SANGKA kita memiliki keluarga kita, isteri kita, anak-anak kita, harta benda kita, perniagaan kita, masa kita, duit kita, rumah kita, akademik kita dan sebagainya.
Rasa MEMILIKI inilah yang akan meLEMAHkan kita.
Ia akan menjadikan kita kecewa dan sedih yang amat sangat apabila ALLAH SWT menarik nikmat-nikmat ini daripada kita.
Dan kerana itulah juga tarbiyah sepatutnya MEMBINA RASA DIMILIKI DAN MEMILIKI. Rasa ‘sense of belonging’ kepada gerakan dakwah ini. Rasa dimiliki dan memiliki dakwah dan tarbiyah ini. Rasa memiliki dan dimiliki oleh ikhwah dan akhowat sekeliling. Hanya dengan perasaan inilah kita akan mampu tsabat dan istiqamah. Rasa dimiliki dan memiliki gerabak dakwah dan tarbiyah ini menyebabkan KITA TAK SANGGUP KEHILANGANNYA. Dan sekiranya kita kehilangannya, KITA AKAN KESEDIHAN YANG AMAT SANGAT.

Kenapa ramai daripada kita boleh meninggalkan gerabak dakwah ini dengan senang hati?
KERANA HATI KITA TIDAK LANGSUNG MERASAKAN KEHILANGAN apabila kaki kita melangkah keluar dari gerabak dakwah dan tarbiyah ini. Kita lebih merasakan kesedihan dan kekecewaan apabila kehilangan benda-benda lain yang terpaksa kita tinggalkan ketika bersama dakwah. Kita merasa sedih dan letih sangat apabila kehilangan masa, kehilangan duit, kehilangan waktu bersama orang-orang yang kita sayangi.
Tapi, apabila meninggalkan dakwah, kita tidak pula benar-benar merasa kehilangan hidayah, kehilangan matlamat hidup, kehilangan jiwa yang basah dengan iman dan kehilangan momentum dalam mendakwahi umat.
Ya Allah…..
Kenapa setelah bertahun-tahun menyedut madu iman dan taqwa yang menghias jalan dakwah dan tarbiyah ini, kita masih tidak merasa dimiliki dan memilikinya?
Kenapa setelah bertahun-tahun dihidangkan petunjuk dan hidayahNya, hati kita masih merasa kita memiliki kehidupan dunia ini sehingga kita tidak mampu melepaskan ia?
Kepada yang masih dan sedang istiqamah, ayuh kita renungi dalam-dalam firman Allah SWT dibawah, surah Al Hujuraat, ayat ke-7, yang bermaksud,
Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus;
Semoga hati-hati kita semua kembali merasai ‘sense of belonging’ kepada dakwah ini, tarbiyah ini, ummah ini dan jamaah ini. Hanya dengan itu kita akan merasa terikat dengannya, kasih kepada teman-teman seperjuangan, sanggup berkorban untuknya dan ingin hidup dan mati bersama-sama dengannya. Amin Allahumma amiin.

Semoga Allah redha.

credit to : http://laskarmentari.wordpress.com/