Saturday, 26 April 2014

IBU MADRASAH PERTAMA BAGI ANAK-ANAK







Bismillah, Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, Allahumma solli 'ala Muhammad
Segala puji bagi Allah atas segala nikmat iman dan Islam yang kita perolehi pada hari ini.

Semoga semua sentiasa tenang, bahagia dalam rahmat dan kasih sayangNYA.

" Al-Ummu Madrasah Al-Ula"

Ibu merupakan madrasah dan sekolah pertama bagi anak-anak. 

 Apabila seorang ibu itu telah persiapkan mereka (anak) dengan baik, maka sesungguhnya ibu tadi telah mempersiapkan sebuah generasi yang baik dan kuat.

SubhanaAllah besar dan hebatnya peranan seorang muslimah yang bergelar ibu.

Sungguh seseorang ibu itu sememangnya memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk generasi yang akan datang. Jika lurus didikannya, maka insyaAllah luruslah jalan yang diambil oleh si anak. Jika bengkok dan salah didikannya, maka tidak mustahil bengkok jugalah ia.

Seorang ibu sebenarnya bukan sahaja menjadi sekolah 'pertama' , tetapi hakikatnya seorang ibu itu juga menjadi sekolah 'utama' bagi anak-anaknya.
Lumrahnya, kita akan berasa bangga dengan susuk tubuh yang telah berjaya seperti para alim ulama', para ilmuwan, agamawan, pahlawan dan sebagainya. Sehingga mereka mendapat tempat terhormat dalam kalangan masyarakat. Namun, terfikirkah kita bahawa di belakang tokoh-tokoh besar itu, pasti ada seseorang yang hebat yakni seorang isteri atau ibu.

Seperti peranan sebuah madrasah atau sekolah, ibu umpama gudang ilmu, pusat peradaban dan wadah yang menghimpun sifat-sifat dan akhlak yang mulia. Melalui 'madrasah' seperti inilah yang kelak mampu melahirkan generasi anak-anak yang soleh dan berakhlak mulia. Persoalannya di sini sudahkah kita para Muslimah mempersiapkan diri? sudahkah para ibu diluar sana menjadi madrasah pertama dan utama bagi anak-anak?

Mari saya ajak semua perhatikan apa yang dilakukan oleh kebanyakan ibu marcapada ini. Terlalu ramai para ibu yang berbangga ketika melihat anak-anak mereka tampil di pelbagai jenis 'realiti show'. Tanpa mereka sedari mereka sebenarnya meraih prestasi dalam aktiviti maksiat kepada Allah. Maaf jika mungkin bunyinya agak kasar. Tapi itulah realiti yang harus kita sedari wahai muslimah sayang, tidak salah untuk join mana-mana realiti show, tapi pastikanlah bahawa ianya mampu membuatkan Allah redha dan anak-anak menjadi taat kepada Allah swt bukan tenggelam dengan arus hedonism. Astaghfirullahal adzim.




Mungkin saya belum lagi bergelar isteri apatahlagi bergelar seorang ibu, Namun apa yang saya cuba sampaikan ini adalah suatu kenyataan yang pasti. Saya juga punya ibu, dikelilingi masyarakat yang bergelar ibu. 
Saya merasai dan melihat sendiri apa yang berlaku pada hari ini kesan daripada gagalnya seorang ibu dalam menjadi madrasah utama buat anak-anak. 

Sehingga setiap hari saya sangat risau, sangat risau apakah kelak saya mampu menjadi madrasah terbaik buat anak-anak saya.

Namun kerisauan itu bukan menjadi penghalang buat kita semua wahai muslimah yang saya kasihi kerana Allah. Ayuh kita bangun, kita siapkan diri dengan segala kelengkapan ilmu dari segi fizikal dan rohani. Kita didik diri kita mulai daripada saat ini, belajar dan terus belajar menjadi muslimah yang hebat ilmu dan peribadinya. Biar kelak kita mampu menjadi sekolah pertama dan utama buat anak-anak kita. Tanam azam dan keyakinan yang tinggi dalam diri. InsyaAllah Allah pasti permudahkan.

Dalam Islam, kewajipan yang paling utama bagi seorang wanita adalah sebagai ibu dan pengurus rumah tangga.

Sabda Nabi s.a.w :

" Seorang wanita adalah pengurus rumah tangga suaminya dan anak-anaknya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas pengurusannya" ( HR MUSLIM )




Ibu ialah tonggak bagi sesebuah keluarga bahagia, sekaligus menjadi pencetak generasi hadapan. Namun dalam sistem kapitalis, fungsi ini tidak ditekankan sebagai perkara yang penting malah ia dijadikan sebagai pilihan, bukannya kewajiban, kerana kemajuan wanita hanya diukur berdasarkan kepada keupayaan dalam meraih material semata-mata.

Pernah saya duduk bersama beberapa orang rakan kuliah saya suatu saya belajar dahulu.

Saya ditanya, " nanti dah kahwin, nak kerja ke? "

saya tersenyum lalu menjawab " kalau ditanya saya, saya memilih menjadi suri rumah."

lalu sebahagian mereka menjawab " zaman sekarang ni perlukan duit kot, isteri pun kenalah kerja jugak"

sebahagian lagi menjawab " kita belajar tinggi-tinggi kot, takkanlah nak duduk rumah jadi suri rumah je"

Saya tersenyum lagi, saya tidak mahu berbahas panjang. 

Sungguh saya bukan ingin menjadi suri rumah 'biasa' yang kosong ilmu dan pengetahuannya. Tapi kerana saya mahu menjadi seorang suri rumah yang 'luar biasa' hebat ilmu dan pengetahuannya. Biar sayalah orang pertama yang mengajar anak saya mengeja dan mengira. Sayalah orang pertama yang mengajar segala ilmu dunia dan akhirat kepadaNYA. Maka dengan itu saya usaha dalami ilmu sains dan matematik dengan baik, saya usaha dalami ilmu agama dan beberapa kemahiran dengan sebaik mungkin. Biar kelak meskipun saya hanya bergelar suri rumah tapi saya mampu membuat suami dan anak-anak saya bangga sekaligus membuat Allah redha. 

Dan jika alasannya nak bantu suami dari segi kewangan, ya saya dah siapkan diri 2 tahun lepas lagi. Dengan memulakan perniagaan yang kini mula melebarkan sayapnya, alhamdulillah. Perniagaan ini saya harap mampu membantu sedikit sebanyak meringankan beban keluarga dan suami saya kelak. See? siapa kata suri rumah tidak boleh melakukan apa-apa? Saya lebih selesa seperti ini, bekerja di rumah sahaja disamping menjaga kebajikan suami dan anak-anak. Namun tidaklah menjadi alasan untuk saya tidak mahu keluar dan maju kehadapan dalam masyarakat. Ada adab-adab dan tatacaranya yang harus kita ikuti.InsyaAllah.

Semua ini hanyalah sebuah impian saya kelak bila saya sudah berumah tangga. Tidak salah bukan jika kita merancang awal? Tidaklah awal mungkin bagi usia yang kini menjangkau 21 tahun.

Jom saya bawa kita semua telusuri satu persatu sejarah para sahabiyah yang menjadi ibu yang hebat.


Antaranya, kisah Kabsyah binti Rafi', seorang sahabiyah yang hidup dan tampil menjadi penolong agama Allah, menjadi ibu kepada dua anak yang gugur sebagai syahid, dua pahlawan Islam yang diberkahi iaitu Amr bin Mu’adz dan Saad bin Mu’adz. Dialah ibu yang ‘Arsyar-Rahman bergegar kerana kematian anaknya. Dialah juga ibu yang memutuskan perkara dengan hukum Allah S.W.T. Anak beliau ialah penjaga Rasulullah S.A.W ketika Perang Badar, pemegang panji daripada golongan Ansar, serta salah seorang ahli majlis syura Rasulullah S.A.W ketika itu. Anak beliau ialah As-siddiq kedua setelah Abu Bakar r.a. Anak beliau jugalah wakil Rasulullah S.A.W dalam Perang Buwath.

Begitu juga halnya dengan Saidatina Asma' binti Abu Bakar yang sentiasa merangsang anaknya Abdullah bin Zubair agar tidak menjadi seorang pengecut dan terus berjuang hingga ke hujung nyawa. Dalam didikannya, keperibadian Abdullah bin Zubair dibentuk. Beliau ialah susuk seorang ibu yang sangat memahami peranannya dalam mendidik generasi utama yang berkualiti serta menjadikan kecintaan kepada Allah dan RasulNya mengatasi segala-galanya, sama ada harta, isteri, keluarga mahupun segala jenis perbendaharaan dunia. Beliau mencetak keperibadian generasi yang siap berjuang demi meninggikan kalimah La ilahaillallah Muhammad Rasulullah.

Tidak kalah hebat juga adalah pengorbanan yang telah dilakukan oleh sang ibu para syuhada, Tumazhir binti ‘Amru bin Sulami atau lebih dikenali sebagai al-Khansa’. Beliau berkahwin dengan Rawahah bin Abdul Aziz As-Sulami. Daripada pernikahan itu beliau dikurniakan empat orang anak lelaki. Sungguh, tangan yang disangka lembut menghayun buaian itu, mampu menggoncangkan dunia! Setelah melalui pembinaan dan pendidikan daripada tangannya, keempat-empat anak lelakinya itu telah menjadi pahlawan-pahlawan Islam yang terkenal. Berkat dorongannya juga, mereka telah gugur syahid di medan Qadisiyah. Subhanallah!.

Ibu yang bertaqwa akan mendidik ank-anaknya dengan penuh ketakwaan sehingga anak-anak mereka bercita-cita menjadi syuhada'. hal ini bukan sahaja menjadi kebanggan bagi sang ibu, tetapi juga kebanggaan bagi seluruh kaum muslimin daripada satu generasi ke generasi lainnya.

" Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang besar " ( al-anfal : 28)

Berpegang teguhlah wahai muslimah sekalian kepada Islam sahaja, dengan demikian akan lahir kembali susuk-suk ibu seperti pada zaman sahabiah. Dari sinilah akan lahirnya generasi baru, generasi yang sanggup berjuang dan berkorban demi Islam dan bermanfaat buat ummah. Insya Allah.




Semoga kelak tulisan yang saya coretkan hari ini, akan saya jadikan sumber rujukan dan peringatan bila saya bergelar ibu kelak.

Wallahu'alam. Semoga Allah redha.


Sumber rujukan : 
1. Wanita yang dijamin syurga. Ah-mad Khalil Jam’ah. DarulFalah.
2. 70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad S.A.W. Abu Azka al-Madani.Harun Arrasyid HjTuskan. Al-Hidayah Publication.
3. Tafsir al-Qur’an
4. Kitab sahih Bukhari dan Muslim











No comments:

Post a Comment