Haruman daripada minyak wangi yang dipakai seorang wanita yang melintas di hadapan tadi masih kuat berbau walaupun wanita itu sudah hilang daripada pandangan.
Dalam hati memuji-muji bau haruman minyak wanginya dan tertanya-tanya jenama apakah minyak wangi yang dipakai oleh wanita itu.
Hmm, jika saya, yang juga seorang wanita pun terpikat dan sukakan bau yang datang daripada wanita itu, kaum Adam juga pasti menyukainya dan mereka pasti akan tertoleh-toleh untuk melihat gerangan wanita yang berbau sangat harum itu.
Jika hal demikian terjadi, maka berdosalah wanita itu kerana telah menarik minat (atau mungkin nafsu) kaum Adam terhadapnya.
Memang menjadi fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik dan wangi. Ini kerana Allah juga sukakan kecantikan dan menggalakkan hamba-Nya berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah.
Hal ini bersesuaian dengan maksud surah Al-A'raaf, ayat yang ke-31:
"Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang
indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau
mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu
melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui
batas."
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang
beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang
haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;
dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala
mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka
atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara
mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak
bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan
Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki
yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak
yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka
menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari
perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai
orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram. Wallahu'alam.
Harus
Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak diharuskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud,
"Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu
memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu..." (Riwayat an-Nasa'is
dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik
dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati
suaminya.Sunat
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita.
Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud,
"Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan
tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang
cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya" (Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata,
"Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi
menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami
memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang
di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka
dan Rasulullah s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya
nabi s.a.w tidak melarang)" (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Makruh
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.
Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan "makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa". Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.
Haram
"Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan
melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina"
(Abu Dawud, Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda "Siapa saja perempuan yang
memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima
solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari
wangi-wangian tersebut)." (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu
Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah
bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia
berbau wangiannya, lalu beliau menegur "Wahai hamba Allah, apakah kamu
pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t
tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid
sehingga dia pulang dan mandi......" (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah
dan Al-Baihaqi)
Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda,
"Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang
asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui
sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian...(penzina)" (Riwayat
Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita
diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga
dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di
hadapan suaminya.Allah jualah yang Maha Mengetahui. Wassalam.
SUMBER : - Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment