sedikit perkongsian from blog http://genta-rasa.com/2013/02/04/bisu-yang-bersuara/
Kata orang, komunikasi tahap tinggi ialah
kemampuan kita mendengar sesuatu yang tidak diperdengarkan. Komunikasi
tanpa suara, begitulah istilah yang mungkin paling tepat untuk menamakan
komunikasi jenis ini.
Mendengar bukan sekadar dengan telinga, tetapi
dengan mata dan hati. Berikan hubungan mata, jalinankan rasa hati.
Itulah maksud mendengar yang hakiki. Jika tidak, kita masih dikira
‘tuli’ dalam perhubungan sesama suami-isteri.
“Dah berapa kali saya nyatakan… tetapi awak macam tak faham. Tak faham atau tak mahu faham?”
Begitu selalu kita dengar kemarahan seorang suami.
“Dah berapa kali saya cakap baik-baik
abang tak mahu dengar. Terpaksalah saya jerit macam ni. Kalau abang tak
faham juga tak tahulah… saya bosan!”
Begitu pula luapan kekecewaan seorang isteri.
Semua kata-kata diatas menunjukkan betapa manusia sering gagal ‘mendengar’ kata-kata pasangannya.
Termenung saya memikirkan. Sebagai
suami, saya selalu mengharapkan isteri mendengar kata-kata yang saya
luahkan tanpa suara. Namun, saya sedar, mana mungkin saya menerima tanpa
terlebih dahulu memberi? Ertinya, setelah saya benar-benar ‘mendengar’,
barulah saya didengari.
“Awak sedar tak banyak kemahuan saya yang awak gagal penuhi?” kata suami yang berang.
“Eh, awak kira kemahuan awak saja.
Kemahuan saya? Dah berapa banyak awak penuhi? Saya tak dapat apa-apa
dari perkahwinan ini!” balas isteri.
Mana lagi hubungan yang paling intim
dalam kehidupan ini selain hubungan antara suami dengan isterinya? Apa
kemahuan suami, harap-harap dipenuhi oleh isteri. Begitulah sebaliknya.
Tetapi mampukah semua kemahuan ini dipenuhi? Silapnya, kebanyakan
kemahuan itu dipendamkan sahaja. Tidak diperdengarkan. Jika pun
diperdengarkan akhirnya, tetapi semua telah terlewat. Sudah jadi
jeritan, bukan bisikan.
Beringat-ingatlah, kita tidak mungkin
menerima tanpa terlebih dahulu memberi. Justeru, marilah kita dengar
dahulu apa suara hati isteri sebelum mereka mendengar suara hati kita.
Saya takut, kalau-kalau kita tidak berusaha mendengar bisikan, nanti
kita terpaksa mendengar jeritan. Jadi, tumpang isteri masih sudi
berbisik, marilah kita dengar bisikan itu.
Takut-takut bila kita tuli
dengan bisikan, dia terpaksa menjerit untuk memaksa kita mendengarnya.
Jadi…
Dengarlah bila isteri berbisik, “bang, dengarlah suara hati saya… sampai bila hubungan kita akan renggang begini?”
Jika tidak kita akan mendengar jeritan:“Bang, muktamad ceraikan saya!”
Mungkin ini yang dimaksudkan dengan
kata-kata: Kalau cinta luahkan, kalau benci berterus-terang. Ah, tidak
semudah itu. Lebih-lebih lagi dalam hubungan suami isteri, justeru
sering terjadi, orang yang paling berpotensi untuk kita benci ialah
orang yang pernah paling kita sayangi. Nauzubillah! Ah, agaknya kerana
itulah kekadang ada yang jadi terlalu pesimis dengan perkahwinan
sehingga sanggup mengatakan, perkahwinan itu adalah kuburan percintaan!
Suatu hari saya pernah saya bertanya,
apakah yang diperlukan oleh isteri saya. Dia senyum. Diam. Saya jadi
buntu. Niat hati, kalau dia berani menyuarakan, nanti saya tak
segan-segan menyuarakan isi hati saya pula. Ini konsep, “ first seek to understand than to be understood”.
Tapi sukarnya memahami hati wanita… Berbicara bukan melalui kata dan
suara tetapi lebih pada lirikan mata dan lenggokan gaya. Bahasa tubuh,
kata orang sekarang.
Lama saya tunggu, hari-demi hari, minggu demi minggu. Isteri masih tidak bersauara.
“Kenapa?”
“Tak kan tak tahu…”
Jawapan ‘tak kan tak tahu’ itu menyebabkan saya semakin tidak tahu.
‘Tak kan tak tahu’ menunjukkan jawapan
itu ada. Dan jawapan itu terlalu dekat dan nyata. Tapi biasalah, sesuatu
yang terlalu dekat biasanya sukar dilihat.
Cuba kita rapatkan kedua-dua
belah tangan ke mata, rapat dan lebih rapat lagi… akhirnya pandangan
kita terhadapnya akan menjadi terlalu samar. Kita tidak akan nampak
lagi. Ya, mungkin suara hati isteri terlalu dekat, maka kita menjadi
semakin tuli untuk mendengarnya.
“Kita membina hidup atau kehidupan?”
Saya terkejut . Beza antara ‘life’ dan ‘living’ terlalu besar.
“Kedua-duanya,” jawab saya.
“Tapi mana yang lebih penting?”
“Kehidupan,” jawab saya pendek.
“Apa bezanya hidup dan kehidupan?” soalnya lagi.
“Kita hidup dengan makanan, pakaian,
kenderaan dan tempat tinggal. Tapi kita membina kehidupan dengan
kasih-sayang, cinta dan kemesraan.”
“Jadi, isteri teman hidup atau teman kehidupan?”
Saya panik. Terasa diperangkap.
“Err… teman hidup dalam kehidupan,” saya membetulkan.
“Tahu pun!” bidasnya pantas.
“Apa mahu isterimu?” Dia bertanya lagi.
“Kasih sayang, kemesraan, pembelaan, kemaafan, keadilan…”jawab saya.
“Itulah kehidupannya. Sebaliknya apa yang kamu berikan selama ini?”
Saya jadi serba-salah.
“Hanya makanan, pakaian, kenderaan, rumah, wang… Itu semua untuk hidup, bukan untuk kehidupan,” tingkahnya sinis.
“Tapi saya juga inginkan itu semua darinya. Saya juga inginkan kehidupan bukan semata-mata hidup.”
“Ingat prinsip ini baik-baik: Kita hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri.”
“Maksudnya saya perlu memberi sebelum menerima?”
“Siapa yang tidak mengasihi tidak akan
dikasihi. Itu hukum kasih-sayang. Untuk orang mencintai kita, kita
dahulu mesti menyintai orang. Itu hukum kasih-sayang dan cinta. Ini
rukun kehidupan.”
(Begitu dialog diri saya dengan diri sendiri – monolog)
Saya terus bermonolog…
Ah, sukarnya memenuhi kegala kemahuan
kerana kita sentiasa dibatasi kemampuan. Mungkin kita mahu, tapi tidak
mampu. Mungkin kita mampu, tetapi tidak mahu. Ini lebih sukar. Ya,
apabila difikir-fikirkan, masalah tidak mahu lebih sukar diatasi
daripada tidak mampu. Ramai isteri yang tidak mahu memenuhi kemahuan
suami dan begitu juga ramai suami yang tidak mahu memenuhi kemahuan
isteri. Mahu bukan soal fizikal dan material tetapi soal fikiran, hati
dan perasaan.
“Senyum bila berdepan dengan suami…” pesan para ulama untuk isteri.
Mampu? Siapa yang tidak mampu kalau sekadar tersenyum. Tetapi berapa ramai isteri yang mampu tersenyum di depan suami.
“Peluk isteri sekurang-kurangnya 5 kali
sehari tanpa dibauri keinginan seks. Maksudnya, semata-mata melahirkan
kasih sayang,” kata pakar motivasi untuk suami.
Mampu? Berapa banyak tenaga yang
diperlukan untuk memeluk isteri wahai para suami? Tak banyak, tetapi
berapa ramai antara kita yang mahu melakukannya.
Al hasil, semuanya kembali kepada Allah.
Barangsiapa yang memenuhi keperluan-Nya akan ada kemahuan dan kemampuan
untuk memenuhi keperluan sesama manusia. Jadi, jangan kemahuan kita yang
didahulukan… dahulukan perintah Allah. Allah tetapkan ketaatan seorang
isteri hanya untuk suaminya. Allah mahukan pembelaan seorang suami hanya
untuk isteri. Itulah hakikatnya ‘kemahuan’ Allah yang sebenarnya Dia
tidak mahu… kerana segala ‘kemahuan-Nya’ hanya untuk manfaat hamba-Nya.
Dia Maha Kaya!
No comments:
Post a Comment