Saturday, 15 March 2014

AKU DAN PENULISAN





Bismillah...Allahumma solli 'ala Muhammad

Alhamdulillah. Semoga ilham yang dikurniakan oleh Allah ini akan terus berkembang dan menjadi sesuatu yang memberikan manfaat kepada saya. Insya Allah semoga Allah terus-menerus memberikan kekuatan kepada saya untuk terus menulis dan memperbaharui blog ini dari semasa ke semasa demi menyebarkan suatu ilmu yang sangat bermanfaat. Amin Allahumma amiin

Tidak semua manusia itu diberikan kelebihan untuk menulis. Memang tidak dapat dinafikan menulis merupakan antara suatu anugerah terhebat oleh Allah kepada hambaNya yang terpilih. Oleh yang demikian, dengan kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan, jadikan medan penulisan ini sebagai suatu medan dakwah yang dapat menjadikan manusia itu kembali ke pangkal jalan. Tiada yang lebih diharapkan oleh setiap penulis kecuali hasil tulisannya itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Sesungguhnya tulisan yang hebat itu bukan dinilai daripada banyaknya royalti yang diperoleh dan bukan hasil tulisannya itu menjadi ' best seller'. Namun, apa yang dikehendaki oleh penulis ialah hasil karyanya itu mampu membuatkan pembaca sedar akan kealpaan dan menjadi semakin dekat dengan PenciptaNya. Bertuahnya karya itu yang mampu memberikan pahala yang besar kepada penulisnya. Karya hebat yang dapat meruntun hati pembaca dan semakin mengingati Allah di akhirnya. Begitulah karya yang diimpikan selama ini. Semoga Allah mengabulkan hasrat ini.

Tidak semua hasil karya yang ditulis dapat meruntun hati pembaca untuk semakin mencintai Allah. Ada karya yang melalaikan, melekakan dan ada juga karya yang terlalu berlebih-lebihan dalam bab-bab sensitif sehingga menjadikan pembaca lalai dan teralpa seketika. Begitulah pentingnya niat sebelum menghasilkan karya. Niatkan menulis untuk berdakwah semata-mata kerana Allah SWT. Benarlah, tulisan yang lahir daripada hati penulis akan sampai ke hati pembaca. Tulislah dengan ikhlas dan penuh tawaduk demi membangunkan agama. Memperoleh royalti daripada hasil karya tidak sepatutnya berada di kedudukan terawal sebelum melaksanakan sebarang aktiviti penulisan.

Apabila diniatkan kerana Allah untuk berdakwah dan memberikan peringatan kepada manusia, maka Allah akan menurunkan ilham yang tidak disangka-sangka seumpama hujan yang mencurah-curah membasahi bumi tanpa sebarang kawalan. Yang terpenting niat di dalam hati dan jiwa itu perlu ikhlas. Hebatnya anugerah Allah tanpa batasan ini. Segala-galanya terserah kepada penulis untuk menghasilkan karyanya. Hebatnya juga seorang penulis apabila dapat menghasilkan tulisan yang benar-benar lahir daripada hati yang tulus ikhlas. Indahnya karya itu yang dapat mengubah hati pembaca. Sesungguhnya hati manusia itu milik Allah. Hanya Allah sahaja yang dapat mengubah hati manusia. Oleh itu, berusahalah agar kita dapat menghasilkan karya indah yang dijadikan perantara dalam mengubah hati manusia. Berbahagialah jika kita tergolong dalam penulis yang sedemikian rupa. Menulis dari hati akan dapat melonjakkan suatu anjakan dalam membawa manusia ke arah kebenaran dan memberi peringatan antara satu sama lain. Begitulah karya yang diredai dan semoga kita dijauhkan daripada menghasilkan karya yang melalaikan dan tidak memberi sebarang manfaat untuk diri, ibu bapa, keluaraga, agama dan masyarakat.

Teringat saya akan bagaimana datangnya hidayah Allah dalam hidup saya adalah melalui penulisan-penulisan yang kerap saya baca semasa saya berada dalam tingkatan 3 dahulu. Ketika tamatnya peperiksaan PMR , saya habiskan masa dengan membaca hasil karya yang dikongsi di laman blog dan forum halaqah.net ( syukur Allah temukan saya dengan laman2 sosial yang sangat bermanfaat ). Melalui pembacaan ini hari demi hari titisan air mata taubat dan hidayahNYA menyerap masuk ke lubuk hati saya dan akhirnya menjadi pencetus untuk saya 'terjun' ke dunia penulisan seawal usia 15 tahun. Saya mula menubuhkan blog saya sendiri dengan niat dan harapan semoga akan ada yang 'bertemu hidayah' melalui penulisan saya seperti mana saya 'bertemu hidayah' melalui karya penulisan sebelum ini. Sungguh ianya tidak mudah, pernah saya hapuskan blog ini pada tahun 2012 atas sebab tertentu , namun atas galakan dan semangat daripada sahabat dan insan sekeliling, saya bangunkan semula blog ini yang kini akan terus berusaha memberi 'sentuhan sebuah penulisan' buat semua pembaca.



Semoga Allah mencetuskan suatu ilham luar biasa yang dapat menarik pembaca melalui karya yang saya hasilkan. Semoga Allah menjadikan hasil karya saya digeruni oleh musuh Islam. Semoga karya yang saya hasilkan dapat menjadikan pembaca itu semakin dekat dengan Allah. Semoga Allah menjadikan karya saya sebagai ledakan yang dapat mengubah umat. Semoga karya yang dihasilkan itu mampu membawa saya semakin mencintai Allah dan RasulNya. Semoga Allah memberikan keikhlasan yang berpanjangan dengan kemantapan idea serta kemudahan dalam menghasilkan penulisan demi penulisan. Semoga hati ini sentiasa tunduk, patuh dan tawaduk kepadaNya dalam menghasilkan sebuah penulisan yang benar-benar lahir dari hati yang tulus ikhlas. 

Akhir kalam, menulis itu merupakan suatu ilmu bermanfaat yang dapat membantu kita di alam barzah nanti. Semoga hasil penulisan kita akan menjadi saksi di akhirat kelak bahawa perjuangan untuk menjadikan manusia itu kembali kepada pencipta-Nya tidak pernah luntur malah semakin membuak-buak demi memartabatkan ISLAM di mana-mana sahaja. Sedikit pesanan untuk diri dan sahabat-sahabat, menulislah dari hati kerana tulisan yang lahir daripada hati penulis akan sampai ke hati pembaca. Tiada niat selain semata-mata kerana Allah demi membangunkan ISLAM di mana-mana sahaja kita berada.

Semoga Allah mengabulkan segala permohonan hambaNya yang hina ini dan semoga Allah redha..
 Amin Allahumma amiin.

No comments:

Post a Comment