Wednesday 12 March 2014

Kerana Allah itu Tidak Mengecewakan...PERCAYALAH !




Bismillah alhamdulillah....article ini saya kongsikan daripada sebuah blog biskotmayat.blogspot.com
yang mana ianya lebih kurang dengan apa yang saya alami dan mungkin ada antara anda juga yang berhadapan dengan situasi ini....semoga bermanfaat buat kita semua...( terima kasih kepada tuan punya blog kerana telah memberi keizinan buat saya ) semoga Allah redha.

Beberapa hari lepas (dah seminggu lebih rasanya), ada seorang rakan kepada rakan saya 'mengadu' atau meminta 'kaunseling' dari saya, seorang kaunselor yang tak bertauliah. Apatah lagi nak ada lesen. Mimpilah. Cap ayam sungguh saya. Tetapi hairan kenapa kawan saya boleh cadangkan nama saya.

Garu kepala.

Tetapi tak apalah. Saya cuba bantu mana yang paling mampu. Mula-mula saya nak mesej sahaja dia, kemudian disebabkan saya malas menaip mesej dan ada perkara yang penting, maka saya call dia untuk memudahkan bual bicara dan penyampaian.

Saya tanya dia, apa masalah dia. Tanpa banyak bicara, dalam nada sedu sedan, dia terus memulakan ceritanya.

Oh sebelum tu, saya rahsiakan namanya. Kita nak tahu ibrah atau pengajaran dari kisah dia, bukan siapa dia. Kita anggap dia sebagai "A".

"Manusia yang cetek agama.." kata dia masa mesej awal dengan saya, "boleh ke berubah? Ada ke jalan?"

Bila saya membaca soalan ini, saya tersenyum simpul. Kemudian saya memulakan sedikit dialog ringkas sebelum dia bertanya soalan seterusnya.

"Kenapa Allah tak makbulkan doa saya? Saya nak ibu bapa saya macam orang lain. Suruh anak-anaknya solat. Marah bila anak-anak tak solat."

"Saya nak ibu bapa saya solat berjemaah dengan saya. Saya nak diorag bagi didikan agama dekat saya. Saya nak semua benda yang ibu bapa orang lain buat dekat anak diorang. Tetapi hakikatnya, doa saya tak pernah jadi kenyataan..."

Bunyi nada pada akhir mesej itu seolah kecewa dan putus asa.

Tanpa saya sedari, berkaca mata saya. Saya tak perasan bahawa saya nak menangis. Sedih..

Bukan sedih dengan apa yang dia lalui. Tetapi sedih kerana apa yang dia fikirkan, pernah saya fikir dan lalui satu ketika dulu.

Bahkan lebih lagi...

Selepas itu, saya terus nekad untuk call dia untuk berkongsi beberapa cerita serta nasihat. Sebab pada saya, jika tidak dibetulkan bentuk fikir ini, akan membawa kepada situasi yang lebih parah dah bahaya.

Ada Melalui Jalan Bahagia.

Kemudian tadi, ketika saya bukak facebook, secara tidak sengaja terpapar satu status seorang rakan facebook saya, yang berkongsi kerinduan kepada ibu bapanya di rumah sambil tunjuk gambar ibu bapa mereka yang sedang bergurau senda.

Antara status yang ditulis ;

"Syurga,

Anak rindu.
Doakan anak tenang di sini ye.
Anak rasa macam terlalu banyak tekanan sekarang ni.
Mungkin sebab anak exam kut.
Doakan anak dapat menjawab exam dengan tenang ye. Nak ketam nak sotong nak sambal belacan nak sambal tumis ikan bilis nak mee ayah nak nak nak facial nak baju heh.

Rindu."

Bila saya membaca status ini, saya rasa sebak secara tak sengaja.

Entah. Saya tidak tahu mengapa. Mungkin saya rindu pada ibu saya di kampung.

Mungkin juga saya rindu dan teringin untuk mempunyai ibu bapa seperti rakan saya itu. Seperti mana yang diinginkan oleh rakan baru saya, si A.

Tetapi tidak bermaksud saya iri hati pada dia.

Tidak sama sekali.

Kerana itu rezeki dia, mempunyai seorang ibu dan ayah yang banyak mengambil berat urusannya, ada disisi ketika dia tertekan, sentiasa memberi semangat ketika dia jatuh.

Saya turut gembira kerana Allah kurniakan dia keluarga sebegitu. Dan saya juga turut bahagia dengan keluarga saya. Walaupun banyak kekurangan sana sini, tetapi bahagia itu tetap saya nikmati.



Kita Yang Mencipta Melodi Hidup Kita

Saya masih muda lagi. Masih mentah dalam banyak perkara. Masih gelabah dalam pelbagai situasi.

Tetapi saya juga diizinkan Allah untuk melalu dan menghadapi rencam ragam yang pelbagai.

Hidup ini ibarat melodi lagu. Kita yang buat dan reka melodi tersebut. Samada menjadi merdu, sumbang, mendayu, rancak, atau sebagainya.

Anda adalah komposer lagu hidup anda sendiri. Kerana itu Allah ilhamkan kepada kita dua jalan.

Jalan menuju ketaqwaan dan jalan menuju kebinasaan. Beruntunglah sesiapa yang memilih jalan menuju ketaqwaan, rugilah sesiapa yang memilih jalan menuju kebinasaan.

Sesiapa yang mengenali saya secara peribadi, mereka akan tahu bagaimana perjalanan hidup saya satu ketika dulu, dan bagaimana saya ubah semula melodi saya dari sumbang kepada sedikit merdu.

Err.. Takde la merdu sangat. Sumbang juga kadang-kadang. Sedap didengar sendiri je barangkali. Eheh.

Saya sedar dan tahu, di sana ramai orang mencari-cari jalan dan makna hidup ini. Di sana juga ramai menanti-nanti dan teringin ibu bapa mereka menjadi sebaik malaikat dan seanggun bidadari. Namun ramai juga yang kecewa kerana pada mereka permintaan mereka pada Pemilik Langi dan Bumi masih lagi tidak diperkenankan.

Erk, faham ke dak ni? Ok, saya tak tulis bahasa langit sangat. Saya guna bahasa bumi. Hehe. Guna bahasa mudah.

Saya tahu ramai yang mungkin hampir kecewa dan putus asa dengan doa kepada Allah.

Dan saya tahu ramai yang menginginkan ibu bapa mereka adalah ibu bapa yang soleh, tetapi sayangnya tidak soleh seperti mana yang mereka impikan. Bahkan kadang-kadang lebih teruk.

Dan saya juga tahu ramai juga yang menginginkan kehidupan yang menggembirakan, ada adik beradik yang sporting dan memahami, ada harta yang dapat menampung kehidupan mereka, ada kereta yang boleh bawa mereka jalan-jalan, ada duit lebih untuk dibawa melancong ke mana-mana dan lain-lain.

Saya tak mahu cerita tentang apa yang berlaku pada kehidupan saya yang lalu. Saya cuma nak nasihatkan sedikit saja. Nasihat ini saya cuba semaksima mungkin untuk jujur dan ikhlas dari hati saya.

Saya cuba menulis dari hati, agar ia dapat menyentuh hati-hati yang ingin mencari.

Nasihat saya...

Setiap orang ada jalan cerita sendiri. Ada melodi yang tersendiri.

Ada yang indah, ada yang pedih.
Ada yang gembira, ada yang duka.
Ada yang sumbang, ada yang merdu berkumandang.
Ada yang semanis madu, ada yang sepahit hempedu.

Tetapi ketahuilah, Allah takdirkan apa yang berlaku pada diri kita semua PASTI dan PASTI ada hikmah dan rahsia disebaliknya.

Tugas kita pula, TERUSKAN hidup ini, dan teruskan BERHARAP kepada Allah. Jangan mematikan doa kita kepada-Nya. Jangan pernah putus asa. Jangan pernah mengalah!

Kerana percayalah cakap saya..

Jika kita tidak berputus asa dengan rahmat Allah, dan jika kita sentiasa berdoa dan bersangka baik kepada Allah, nescaya suatu hari nanti kita akan menjumpai permata hikmah yang tersembunyi disebalik perjalanan yang kita akan lalui pada masa depan.

Buktinya? Alhamdulillah saya sudah ketemukan permata hikmah itu. Walau tidak semua, namun cukup untuk saya terus melaju berlari menuju Allah.

Percayalah...

Kerana Allah itu tidak pernah mengecewakan.

:)



1 comment: