Tuesday 11 November 2014

Sense Of Belonging

Kita akan benar-benar merasai kehilangan sesuatu itu hanya sekiranya sesuatu itu ada mengambil sedikit ruang di ingatan dan juga di hati kita. Kita tidak akan merasai kehilangan sesuatu itu sekiranya kita tidak pernah mengambil berat kehadirannya, kewujudannya dan peranannya. Kita juga tidak akan merasai kehilangan sesuatu benda yang tidak kita hargai dan tidak kita ingini dalam kehidupan kita. Bahkan mungkin, kehilangannya akan menghadirkan rasa lega, rasa tenang, rasa seronok dan rasa ‘ringan’ di bahu kita. Kerana akhirnya, benda atau sesuatu yang tidak kita sukai itu, telah hilang dari hidup kita.
Kenapa sesetengah kehilangan itu benar-benar menyedihkan kita?
Kesedihan hanya akan mengiringi kehilangan sesuatu yang kita cintai.
Kita tidak akan menangisi kehilangan sesuatu yang kita benci.
Kerana itulah, kalau kita perasan, perjuangan dan dakwah ini selalu menuntut perkara-perkara yang kita cintai daripada kita. Allah SWT selalu bertegas dalam urusan perkara-perkara yang kita cintai ini.
Firman Allah SWT di dalam surah At Taubah, ayat ke-24, bermaksud,
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
Kenapa kecintaan yang berlebihan terhadap perkara-perkara diatas mendapat ancaman keras daripada Allah?
Kenapa perjuangan Islam selalu menuntut pengorbanan perkara-perkara yang kita cintai seperti diatas?
Ikhwah Akhowat sekalian, jawapannya adalah kerana kita tidak pernah memiliki walau satu pun daripada semua nikmat yang disenaraikan tersebut. Keterikatan dan kebergantungan kepada sesuatu yang TIDAK KITA MILIKI akan menyebabkan kekecewaan yang amat sangat apabila kita KEHILANGANNYA atau diminta MENINGGALKANNYA. Kita SANGKA kita memiliki keluarga kita, isteri kita, anak-anak kita, harta benda kita, perniagaan kita, masa kita, duit kita, rumah kita, akademik kita dan sebagainya.
Rasa MEMILIKI inilah yang akan meLEMAHkan kita.
Ia akan menjadikan kita kecewa dan sedih yang amat sangat apabila ALLAH SWT menarik nikmat-nikmat ini daripada kita.
Dan kerana itulah juga tarbiyah sepatutnya MEMBINA RASA DIMILIKI DAN MEMILIKI. Rasa ‘sense of belonging’ kepada gerakan dakwah ini. Rasa dimiliki dan memiliki dakwah dan tarbiyah ini. Rasa memiliki dan dimiliki oleh ikhwah dan akhowat sekeliling. Hanya dengan perasaan inilah kita akan mampu tsabat dan istiqamah. Rasa dimiliki dan memiliki gerabak dakwah dan tarbiyah ini menyebabkan KITA TAK SANGGUP KEHILANGANNYA. Dan sekiranya kita kehilangannya, KITA AKAN KESEDIHAN YANG AMAT SANGAT.

Kenapa ramai daripada kita boleh meninggalkan gerabak dakwah ini dengan senang hati?
KERANA HATI KITA TIDAK LANGSUNG MERASAKAN KEHILANGAN apabila kaki kita melangkah keluar dari gerabak dakwah dan tarbiyah ini. Kita lebih merasakan kesedihan dan kekecewaan apabila kehilangan benda-benda lain yang terpaksa kita tinggalkan ketika bersama dakwah. Kita merasa sedih dan letih sangat apabila kehilangan masa, kehilangan duit, kehilangan waktu bersama orang-orang yang kita sayangi.
Tapi, apabila meninggalkan dakwah, kita tidak pula benar-benar merasa kehilangan hidayah, kehilangan matlamat hidup, kehilangan jiwa yang basah dengan iman dan kehilangan momentum dalam mendakwahi umat.
Ya Allah…..
Kenapa setelah bertahun-tahun menyedut madu iman dan taqwa yang menghias jalan dakwah dan tarbiyah ini, kita masih tidak merasa dimiliki dan memilikinya?
Kenapa setelah bertahun-tahun dihidangkan petunjuk dan hidayahNya, hati kita masih merasa kita memiliki kehidupan dunia ini sehingga kita tidak mampu melepaskan ia?
Kepada yang masih dan sedang istiqamah, ayuh kita renungi dalam-dalam firman Allah SWT dibawah, surah Al Hujuraat, ayat ke-7, yang bermaksud,
Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus;
Semoga hati-hati kita semua kembali merasai ‘sense of belonging’ kepada dakwah ini, tarbiyah ini, ummah ini dan jamaah ini. Hanya dengan itu kita akan merasa terikat dengannya, kasih kepada teman-teman seperjuangan, sanggup berkorban untuknya dan ingin hidup dan mati bersama-sama dengannya. Amin Allahumma amiin.

Semoga Allah redha.

credit to : http://laskarmentari.wordpress.com/

Wednesday 29 October 2014

MOIST CHOCOLATE CAKE + CHEESE

Bismillah

Alhamdulillah, kali ni saya  nak berkongsi Resepi Moist Chocolate Cake with Topping cheese.

Actually this is a first time saya buat gabungan coklat dengan cheese.

Selalunya kalau buat Chocolate cake, topping pun coklat jugak. Cheese cake pun macam tu.

Hari tu masa tengah jalan-jalan sambil scroll resepi dalam one of my favourite groups which is group "Resepi Ringkas" dekat facebook, terjumpa ada yang share about this cake.

Terus catit all the recipe that have been given there. 

Panjang pulak intro, eheh ok2 lets we continue to the step on how to make Moist Chocolate cake + cheese.


taraaa.....inilah rupa kek saya buat semalam ..cantik tak? sedap pun sedap :D

BAHAN A

- 1 CAWAN MINYAK
- 1 CAWAN GULA 
- 1 CAWAN SUSU PEKAT
-1 CAWAN SUSU CAIR
- 1 CAWAN KOKO

Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk, kemudian masak atas api sederhana, kacau sehingga larut dan tak berketul. 

BAHAN B

- 4 BIJI TELUR DIBLENDER

BAHAN C

- 2 CAWAN TEPUNG GANDUM DIAYAK BERSAMA
 1 SUDU KECIL SODA 
 1SUDU BAKING POWDER

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tuang bahan A yang telah dimasak tadi ke dalam bekas untuk dimixer bersama bahan B & C.

Masukan bahan C sedikit demi sedikit semasa proses mixer. Mixer hingga sebati kesemuanya.  Tapi Jangan terlalu lama.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sementara tu panaskan kukusan dengan api sederhana.

Tuang adunan yang da siap tadi ke dalam loyang, dan masukkan ke dalam periuk kukusan. Kukus dalam 1 jam atau sehingga masak 

* tips nak tahu kek tu dah masak atau belum, cucuk bahagian tengah kek dengan lidi sate. Kalau tengok takda melekat dekat lidi maknanya kek dah masak.

* tips nak kek cantik, balut penutup periuk dengan kain bagi mengelakkan wap air terkena  kek.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dah siap masak, tunggu sejuk dulu kemudian keluarkan daripada loyang.

potong bahagian tengah kek menggunakan benang untuk menjadikannya 2 lapisan.

siap untuk dihias ^_^

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

BAHAN-BAHAN TOPPING CHEESE

- 250g Cream Cheese
- Setengah tin susu pekat

* mixer sampai tak berketul. 

kemudian sapukan adunan cheese tu di bahagian tengah kek coklat tadi.

Last sekali tuang dan ratakan ke seluruh permukaan kek dan taburkan cheddar cheese yang diparut sebagai hiasan di atas kek seperti di dalam gambar.

Selamat mencuba ^_^








Monday 6 October 2014

KEK COKLAT KARAMEL

Bismillah

Alhamdulillah lama rasanya tidak berkongsi resepi.
Banyak resepi yang ingin saya kongsikan sebenarnya.
Memandangkan masa saya semakin padat sekarang, ruang masa nak menulis di blog pun sangat terhad.

InsyaAllah kali ni nak share salah satu kek kegemaran keluarga saya yang tercinta.
Tiap minggu request saya buatkan kek ni.
Seronok bila kita dapat masak sesuatu yang keluarga kita suka dan melihat mereka makan hasil air tangan kita pun sangat-sangat mengembirakan.

Baiklah untuk buat kek ni sangat mudah insyaAllah.



=================================================================

First sekali buatkan bahagian karamel terlebih dahulu.

BAHAN-BAHAN (karamel )

* masukkan dalam 5sudu gula ke dalam loyang, panaskan atas api sederhana sampai cair keperangan dan ratakan ke seluruh permukaan loyang kemudian biarkan sejuk.

- 1 cawan susu cair
- 1/2 cawan susu pekat
- 3 biji kuning telur
- 2 biji telur ( putih + kuning )
- sedikit esen vanilla

* mixer semua bahan di atas sampai sebati dan tuang ke dalam loyang yang berisi gula hangus yang telah disejukkan tadi.
* panaskan kukusan dan kemudian masukkan adunan karamel. Kukus dalam 20-25 minit.
* pastikan tutup penutup pengukus dengan kain supaya wap air tak jatuh ke dalam adunan.
* dah masak biarkan sejuk.

==================================================================

BAHAN-BAHAN (lapisan coklat)

(A)
- 1 cawan minyak
- 1 cawan susu pekat
- 1 cawan susu cair
- 1 cawan gula
- 1 cawan koko

* campur kesemua adunan (A)  ke dalam periuk, kemudian masak di atas api sederhana, adun sampai sebati dan tak berketul.
* dah sudah ketepikan.

(B) blend 4biji telur ( ketepikan)

(C) sediakan 1 cawan tepung, 1 sudu kecil soda dan baking powder ( ayak semua ni terlebih dahulu)

* mixer adunan A tadi sambil masukkan sedikit demi sedikit bahan B dan C.
* setelah sebati tuang guna sudu besar ke atas karamel yang telah disejukkan tadi.
* kukus selama 50-60minit. cucuk guna lidi untuk tahu sama ada kek da cukup masa atau tidak.

=============================================================

last sekali bila dah masak biarkan sejuk dahulu sebelum ditebalikkan di atas piring leper.



Selamat Mencuba ^_^



Wednesday 1 October 2014

Jangan Berputus Asa, Bertaubatlah







Taubat secara etimologi (bahasa) berasal dari kata taba (fi’il madhi), yatubu (fi’il mudhari’), taubatan (mashdar), yang bererti “kembali” atau “pulang” (raja’a) (Haqqi, 2003). Adapun secara terminologi (menurut makna syar’i), secara ringkas Imam an-Nawawi mengatakan bahawa taubat adalah raja’a ‘an al-itsmi (kembali dari dosa) (Syarah Shahih Muslim, XVII/59). Dengan kata lain, taubat adalah kembali daripada meninggalkan segala perbuatan tercela (dosa) untuk melakukan perbuatan yang terpuji (‘Atha, 1993).


Adapun pengertian dosa (itsmun/dzanbun/ ma’shiyat), adalah melakukan perkara yang haram (irtikabul haram) seperti mencuri, berzina, minum khamr (arak), dan meninggalkan kewajiban (tarkul wajib) seperti meninggalkan solat, tidak berdakwah, dan tidak menjalankan hukum-hukum Allah di muka bumi (Al-Maliki, 1990).



Taubat merupakan satu kewajipan bagi setiap insan, kerana setiap anak adam itu tidak terlepas daripada melakukan dosa.

Manusia yang baik bukanlah orang yang tidak melakukan dosa, tetapi mereka yang bertaubat setelah melakukan dosa. Seperti dalam hadis Rasulullah s.a.w :

“Setiap anak Adam (manusia) mempunyai salah (dosa), dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang bertaubat.” [HR. at-Tirmidzi dan Ibnu Majah] (‘Atha, 1993).


Katakan ada seorang hamba Allah yang telah  melalaikan seluruh  sebagai seorang Muslim, dengan melakukan perkara-perkara maksiat dan keharaman.
Lalu atas sebab-sebab tertentu tiba-tiba ia menjadi insaf kemudian dia bertaubat. 

Kemudian dia ulang melakukan kemaksiatannya, dan suatu ketika ia pun tersedar dan bertaubat semula. Dan perkara ini berulang-ulang beberapa kali sehingga ada masanya muncul persoalan yang bermain-main dalam benak fikirannya :

“Apakah taubatku ini masih berguna sedangkan aku sentiasa mengulang-ulang dosaku berkali-kali? Apakah Allah masih memandang aku dengan rahmatNya?” 

Pada ketika itu, datang lintasan atau bisikan di hati  yang mengatakan :

“Sesungguhnya aku telah mensia-siakan taubatku yang terdahulu dan aku tidak mampu untuk menahan diriku daripada terus melakukan maksiat yang sama. Disebabkan dosa-dosaku yang bertimbun ini, biarkanlah saja kerana aku tidak mampu untuk berhenti atau mengubahnya lagi. Sia-sia sahaja untuk aku terus bertaubat dan aku pasti akan ke neraka.”

Iktiqad (niat hati) sebegini jika dilakukan dalam keadaan sedar sangat membahayakan keimanannya kepada Allah SWT, na'uzubillahi min dzalik. Sikap berputus asa boleh menyebabkan seseorang itu tertipu dengan bisikan syaitan pada tahap yang lebih tinggi. Seorang pelaku maksiat bukan sahaja tertipu ketika melakukan maksiatnya, malah lebih parah lagi dia tertipu apabila bersikap berputus asa untuk bertaubat dan menagih rahmat serta keampunanNya.  Apabila berlakunya sedemikian rupa, dengan serta merta keimanannya menjadi robek dan rosak kerana sikap berputus asa adalah perkara yang akan memutuskan seseorang itu daripada rahmat Allah SWT. Apa lagi yang boleh diharapkan jika berlakunya perkara sedemikian? Ini sudah pasti akan membuatkan para iblis dan syaitan bersorak gembira atas kejayaan mereka dalam membawa manusia ke neraka Allah.

Memang sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu sentiasa melakukan kesilapan, kesalahan dan dosa dalam kehidupannya. Baik sama ada kesalahan atau dosa itu kecil ataupun besar, sedikit ataupun banyak, membuatnya sekali ataupun berulang kali. Setiap dosa itu pasti akan membuahkan catitan yang akan membawa kepada terbukanya ruang azab dan seksa daripada Allah SWT. Ruang itulah yang perlu ditutup dengan segera dengan segala amal kebajikan yang mampu untuk dilakukan dan pintu utamanya adalah taubat kepada Allah SWT. Nabi SAW yang mulia sebagai seorang yang maksum turut bertaubat dan beristighfar kepada Allah tidak kurang daripada 70 kali dalam sehari, inikan pula manusia biasa yang serba lemah dan hina seperti kita.




“Wahai anak Adam! Sesungguhnya selama mana engkau berdoa dan berharap kepadaKu, maka Aku akan pasti memberikan keampunan kepadamu atas segala dosa-dosamu dan Aku tidak akan mengendahkannya. Wahai anak Adam! Andaikata dosa-dosamu mencecah ke langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, maka Aku akan pasti memberikan keampunan kepadamu. Wahai anak Adam! Jika engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau bertemu denganKu tetapi engkau tidak menyekutukan Aku walaupun sedikit, maka Aku akan pasti datang kepadamu dengan membawa keampunan sepenuh bumi.” [HR Tirmidzi]

SubhanaAllah, lihatlah betapa besarnya rahmat Allah buat kita pendosa tanpa noktah.Selagimana kita tidak menyekutukan Allah, walau sebesar mana pun dosa-dosa yang telah kita lakukan, apabila kita bertaubat dan mengharapkan keampuanNya, maka Allah tidak akan pernah lokek untuk mengampunkan kita dan terus mengurniakan rahmatNya kepada kita. Allah SWT langsung tidak pernah mensyaratkan kita untuk melakukan perjalanan jauh tertentu sebelum diampunkanNya dosa-dosa kita. Bahkan rahmat Allah itu Maha Luas di atas muka bumi ini selagimana kita tidak berputusa asa dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu.



“Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (an-Nur : 31).

 “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya.” 
( at-Tahrim : 8).




Bagaimana cara bertaubat? Bagi mereka yang hendak bertaubat, wajib memenuhi syarat-syarat taubat agar taubatnya sah. Syarat-syarat ini tak ubahnya seperti syarat-syarat solat, yang jika tidak dipenuhi satu syarat atau lebih daripadanya, maka solatnya tidaklah sah dalam pandangan syara’. Demikian pula syarat-syarat taubat. Terdapat 3 (tiga) syarat taubat:

Pertama, menghentikan perbuatan maksiat yang telah dilakukan.

Kedua, menyesali di atas segala perbuatan maksiat yang telah dilakukan.

Ketiga, bertekad kuat (azam) untuk tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat itu lagi untuk selama-lamanya (An-Nawawi, 1989).

Ayuh,  apa lagi keputusan yang harus kita pertimbangkan selain daripada terus bersegera bertaubat dan meraih keampunanNya? Rebutlah peluang ini sebelum datangnya ajal, kerana apabila ruh sudah sampai ke tenggorok, pintu taubat akan ditutup buat selama-lamanya.

Moga Allah ampunkan segala dosa-dosa kita.

rujukan
- kitab sahih bukhari dan muslim
- kamus Arab al-Farid
- www.mykhilafah.com


Friday 15 August 2014

Sungguh Aku Rindu



Bismillah

Alhamdulillah lama rasanya jejari tidak melakar bicara berkongsi cerita di teratak penulisan ini.

Sehingga seakan terlalu banyak yang ingin dicoretkan.

Terima kasih kepada yang setia dan sudi  membaca segala yang tercatat disini ( eheh ada ke yang setia )

--------------------------------------------------------------------------------------------

Alkisah belakangan ini.

Aku mendongak ke langit biru, menikmati indahnya ciptaan Tuhan, Maha suci Allah.

Tanpa kusedari aku memejamkan mata, ku berenang dan menyelam seketika di lautan hati, merasai segala yang terbuku di lubuk hati. Mengimbas segala memori.

Tanpa kusedari titisan mutiara jernih mengalir dipipi.

hati berbisik " sungguh aku rindu "

waktu dimana aku rasa hati aku sangat kuat dahulu. Kadang aku rasa sedih, marah, geram, bahagia, dan pelbagai lagi rasa menjadi satu. Tapi aku tetap rasa kuat. Sebab aku rasa hati aku terikat dengan Allah. Aku rindu waktu itu. Dengan sahabat-sahabat yang mana memandang wajah mereka sentiasa membuat aku ingat pada Allah  Sungguh aku rindu waktu itu.

Tapi sekarang, aku rasa hati aku lembik sangat. Aku dah tak sekuat dulu lagi. Kadang aku rasa nak luah semua benda yang dulu aku tak pernah buat pun. Kalau biasanya dahulu aku menjadi tukang dengar cerita, tempat orang meluahkan rasa dan cerita mereka. Tapi kali ni aku rasa aku nak orang dengar cerita aku pulak. Kalau dulu aku susah nak keluarkan air mata dihadapan orang lain. Tapi sekarang air mata keluar tanpa kira tempat dan sekeliling. Kadang aku takut kalau sampai hubungan aku dengan Allah menjadi nipis, nauzubillah. Ini semua salah aku, aku yang membina jarak itu.

sunyi, lonely. Ini yang aku rasa saban hari.

setiap kali aku rasa sunyi aku akan ulang ulang dan ulang ayat ini 

" Bila kita rasa Allah dalam hati kita, kita takkan pernah sunyi ( zikrullah ) ". Bukankah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang?. Lalu aku akan kembali tersenyum.

Selalu jugak aku ingat kata-kata seorang akak yang aku kagumi akhlaknya

" waktu keseorangan macam inilah, kita boleh dekat dengan Allah. Tali pergantungan kita akan jadi kuat. Tapi ketahuilah, bila kita keseorangan, syaitan akan turut menjadi pendamping kita. Waktu ini boleh jadi waktu kritikal kita. Syaitan dan nafsu dalam diri dengan fitrah diri yang sentiasa inginkan kebaikan sedang bertempur hebat. Maka isilah masa sunyi dengan sebaik mungkin"

sekali lagi aku mengangguk sendiri antara suka dan risau.

Aku nak bangun balik, tapi setiap kali aku bangun, setiap kali itu jugak aku jatuh. Aku mencari dan melihat sekeliling, sunyi, tiada siapa. Tiada lagi sahabat-sahabat yang dulu disisi. Kini semua punya haluan masing-masing.
Akhirnya aku sedar aku perlu bangun sendiri tanpa mengharap orang lain. Sungguh dunia dan seisinya sangatlah menakutkan.

Teringat kata-kata iman Syafi'e :

"Jika Ada seorang yang ingin menjual dunia ini kepada ku dengan nilai harga sekeping roti, nescaya aku tidak akan membelinya." 



Semoga satu saat aku dipertemukan lagi dengan waktu itu. Dikelilingi orang-orang yang beriman. Namun kini aku harus bangun, terus dan terus meraih redha Allah. 


"Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun masing-masing ada kebaikan. Semangatlah meraih apa yang manfaat untukmu dan mohonlah pertolongan kepada Allah, dan jangan bersikap lemah. Jika engkau tertimpa suatu musibah janganlah mengatakan, "Seandainya aku berbuat begini dan begitu, niscaya hasilnya akan lain." Akan tetapi katakanlah, "Allah telah mentakdirkannya, dan apa yang Dia kehendaki Dia Perbuat." Sebab, mengandai-andai itu membuka pintu setan." 
(HR. Muslim)

Mohon doa semua, doakan agar hati ini kuat. Sebab aku juga mahu menjadi mukmin yang kuat dan dicintai oleh Allah seperti hadis di atas.

dan sungguh mati itu sebaik-baik nasihat. Membuat aku lupa akan segala nikmat dunia. 

" Ya Muqallibal qulub, thabit qalbi 'ala dinikk wa to'atikk"

Semoga Allah redha.











Wednesday 11 June 2014

PERSIAPAN MENUJU BAITUL MUSLIM








Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah segala puji serta syukur kepada Allah swt. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w, Allahumma solli 'ala Muhammad.

Semoga semua sentiasa dalam lindungan rahmat dan kasih sayangNYA.


“Maha suci Allah yang menjadikan semua berpasangan, baik dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) mahupun dari sesuatu yang mereka tidak mengetahui.”
(Yaasin: 36)

Maha suci Allah yang menciptakan makhluknya berpasang-pasangan. Ayat di atas menjelaskan bahawa janji Allah itu benar. Setiap makhluk diciptakan dengan pasangan masing-masing. Bila dan dimana seorang itu bertemu dengan pasanganya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Mungkin di dunia, mungkin juga diakhirat.  Antara tauladan yang boleh kita ambil daripada Rasulullah s.a.w adalah bagaimana baginda membina sebuah keluarga yang mawaddah sakinah dan rahmah. Baginda s.a.w seorang suami yang begitu bertanggungjawab kepada ahli keluarganya. Sama ada dalam memberi nafkah zahir atau batin. Lebih-lebih lagi dalam mencurah ilmu agama kepada isteri dan anak-anak. 

" Gagal merancang bagaikan merancang kegagalan"


Apabila kita tidak melatih diri membuat perancangan dalam hidup ini, sudah pasti kita akan rugi. Sebaliknya manusia yang merancang perjalanan hidupnya dengan baik, dia mampu melakukan sesuatu dengan lebih efektif, berhemah tinggi, bersemangat waja, fikiran yang matang dan emosi yang seimbang. Ayuh kita latih diri kita merancang kehidupan termasuk merancang dalam membina sebuah baitul Muslim. Sebuah keluarga tidak bahagia dengan sendirinya tanpa persiapan yang baik dan mantap. Apa pun hakikatnya Allah jualah sebaik-baik perancang!





Memang setiap daripada kita mengimpikan sebuah rumah tangga yang indah " Baiti Jannati, Rumahku Syurgaku". Tetapi demi mencapai keluarga yang diberkati tidaklah semudah mengukir senyuman manis di bibir. Sedangkan mengukir senyuman pun masih sukar bagi  sesetengah orang. Sebab itu perlunya persiapan daripada segi mental dan ilmu dengan secukupnya. 


Maka, faktor utama yang paling penting perlu ditanam pada awal perkahwinan adalah memperbetulkan niat dengan seikhlasnya semata-mata kerana Allah. Niatkanlah mahligai perkahwinan sebagai satu ladang amal, janganlah berkahwin kerana nafsu semata ataupun kerana alasan yang lain yang tidak ada kaitan dengan agama sehingga mengaburi hikmah pernikahan yang ditetapkan oleh Allah.


Selain itu, niatkanlah ikatan pernikahan sebagai jalan bagi menyempurnakan ibadah kita kepada Allah. Sebab itu pentingnya setiap daripada pasangan yang ingin membina masjid supaya lebih serius dalam perbetulkan niat terlebih dahulu. Namun tidaklah terlambat bagi mereka yang sudah berkahwin, jika mungkin ada yang sudahpun berkahwin membaca tulisan saya ini, teruslah perbaiki dan perbetulkan niat dan membina kesungguhan diri dalam melayari bahtera rumah tangga. Saya doakan semoga Allah berkati pernikahan yang telah kalian bina.


Dari sinilah kita perlu menyedari bahawa sebelum melangkah ke alam pernikahan, kita perlu buat persiapan semaksimum mungkin. Kerana sesungguhnya sebuah persiapan yang baik insyaAllah akan mampu membuahkan hasil yang baik juga.


Dalam membuat persiapan kita juga tidak sepatutnya sekadar menumpukan pada proses perkahwinan sahaja. Kenapa dan mengapa?





Ini kerana kita belum tentu lagi dapat berkahwin. Siapa sangka walaupun persiapan sudah cukup, tiba-tiba ajal tiba sebelum sempat mengecap hari-hari bahagia rumah tangga. Kerana sesungguhnya bernikah dengan manusia itu belum pasti, tapi bernikah dengan kematian itu sudah pasti. Jadi elakkan diri terlalu sibuk dengan memikirkan hari perkahwinan, kerana tiada siapa yang dapat menduga ajal menjemput kita sebelum pernikahan berlansung.


Apa yang perlu kita fikirkan adalah sentiasa bersiap sedia jika kelak kita ditakdirkan berkahwin. Tidak juga semestinya menunggu bertemu calon baru hendak mempersiapkan diri. Bahkan sekarang, saat ini meski belum bertemu jodoh kita harus persiapkan diri. Umpama seangkatan tentera di Malaysia contohnya, beribu jumlahnya, tapi tidak semua yang akan pergi berperang, hanya sebahagian sahaja namun setiap masa kesemua mereka akan sentiasa mempersiapkan diri. 


Begitu juga halnya dalam membuat persiapan perkahwinan. Oleh itu apa persiapan yang sepatutnya? Ibarat hendak mendirikan sebuah bangunan, perkara utama yang perlu adalah perancangan rapi, pembiayaan yang secukupnya, bahan-bahan pembangunan dan lain-lain. Dalam mendirikan rumah tangga, kita perlu persiapkan diri kita menjadi hamba Allah yang terbaik, bersedia menghadapi dan menerima siapapun jodoh kita kelak, kerana sudah pasti dia memiliki ciri-ciri yang berbeza dengan kita. Kedua orang tuanya, latar belakangnya bahkan hobinya mungkin juga berbeza. Bahkan mungkin banyak lagi perbezaan yang belum kita ketahui. 


Mungkin hanya sekadar ini yang mampu saya kongsikan berkaitan baitul Muslim. Hanya sekadar perkongsian dalam persediaan dan persiapan awal. Kerana saya juga masih belum mendirikan rumah tangga, mana mungkin untuk saya bercerita bahkan mungkin cuba untuk berimiginasi terlalu tinggi berkaitan perkahwinan, sekalipun saya mencuba saya percaya ianya belum pasti mampu memberi rasa atau menyentuh hati kerana saya belum masuk menempuhnya lagi. InsyaAllah satu hari kelak jika jodoh saya di dunia maka akan muncul la perkongsian baitul muslim seterusnya berkaitan kehidupan di alam rumah tangga pula.




" Ya Tuhan kami, anugerahlah kepada kami, isteri dan zuriat yang menyejukkan mata, dan jadikanlah kami, imam bagi orang yang bertakwa".
 (Al-Furqan ayat 74).


Apa pun nasihat saya buat semua yang masih belum bertemu jodoh, bersabarlah, teruskan menjaga hati, belajar dan terus belajar. Doakan selalu buat jodohmu meski kita tidak tahu dia siapa dan dimana. 


salah kah mereka yang berdoa agar dipertemukan jodoh? gedik ka mereka yang selalu berfikir dan berusaha untuk mendapatkan jodoh?


Masih ada segelintir manusia yang berfikiran jumud dalam hal ini. Menganggap mereka yang berdoa dan berfikir mengenai jodoh ini tidak sepatunya berbuat  demikian. Sama sekali bukan begitu. Lupakah kita bahawa pernikahan itu juga satu ibadah? lupakah kita bahawa berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang baik itu satu tuntutan agama?

Biarlah mereka berdoa dan terus berdoa atau berfikir berkaitan jodoh. Kerana kita tidak pernah tahu berkemungkinan pernikahan itu nanti akan menjadikan mereka insan terbaik dalam beramal dan beribadah kepada Allah. Siapa kita untuk menilai?

Tapi tegurlah dan bimbinglah agar selari dengan tuntutan agama, dan jangan berlebih-lebihan sehingga terbuaian dek lamunan dan khayalan fantasi cinta buatan yang belum pasti, apatahlagi sehingga membuat kita lupa kepada Allah dan hari akhirat. Berdoa pada tempatnya, yakni tadah tangan dan sujud di tikar sembahyang. Bukan berdoa di muka buku dan merintih di sepanjang wall facebook.


" Tiada cinta paling selamat melainkan selepas diijab qabulkan. Dan tiada cinta paling abadi dan paling tinggi melainkan cinta kepadaNYA "


Jadilah anak yang soleh dan solehah terlebih dahulu. Yang perempuan jaga diri dan maruah diri elok-elok, biar kelak jadi seorang isteri yang bijaksana dalam setiap tingkah laku dan bicara. Yang lelaki belajar dan terus belajar ilmu dunia dan agama, selain itu usahalah untuk 'cipta kerja' atau kukuhkan kewangan juga, bukan kerana perempuan atau sesebuah keluarga perempuan itu materialistik. Tidak, sungguh hanya bimbingan dari seorang suami yang boleh membawanya ke syurga itu yang didambakan oleh setiap wanita.Tetapi melalui usaha kamu dalam adanya perancangan terhadap kewangan itu menunjukkan yang kamu seorang lelaki yang ada rasa tanggungjawab dan bersungguh-sungguh untuk mendirikan rumah tangga.






" Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar  kahwin la. 

Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. 

Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la.

 Benda yang baik, jangan dilambatkan dan jadilah pasangan muda yang Bercinta Selepas Nikah.

*faktor usia bukan penghalang, jika sudah bersedia. "



" Jika belum mampu membuat syaitan menangis, jangan kita buat mereka ketawa "


" Cintailah Allah, insyaAllah kita akan akan dicintai oleh mereka yang juga mencintai Allah "


Semoga Allah redha.














Sunday 8 June 2014

HAWA DIRIMU ADALAH FITNAH?







Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, Allahumma solli 'ala Muhammad

Segala puji bagi Allah atas segala nikmat terutamanya nikmat iman dan Islam yang kecapi pada hari ini.

Kalau dalam entry sebelum ini saya berkongsi perihal wanita, insyaAllah kali ini sekali lagi ingin menyentuh sedikit soal wanita. Moga-moga semua yang membaca termasuklah saya sendiri mampu mengambil pengajaran, peringatan dan manfaat daripada apa yang akan saya kongsikan. Sungguh apa yang saya coretkan kali ini adalah berdasarkan beberapa rujukan yakni bahan bacaan. Sekiranya ada sebarang kesilapan mohon perbetulkan saya.

------------------------------------------------------------------------------------------





Hawa, dirimu adalah fitnah?

Bila sentuh soal ini, saya yakin pasti ramai yang tahu tentang fitnah ini, tapi fitnah kita sebagai manusia (an-nas ) yang juga membawa maksud pelupa. Kita selalu lupa tentang hal ini, malah kadang buat-buat lupa.

Dalam dunia akhir zaman ini, dunia yang penuh dengan kemajuan ini, kita akan dapati wanita juga seiring bersama kebangkitan dan kemodenan. Tetapi, jika kita cakna kita akan lihat dan dapati ada segelintir kaum hawa yang mencampakkan diri mereka ke dalam fitnah sama ada sedar atau tidak sedar. Terutamanya terhadap agama kita sendiri.

Said ibn al-musayyab berkata ”setiap kali syaitan berputus asa mengganggu seseorang maka dia akan melancarkan gangguannya melalui wanita”

Sabda Rasulullah s.a.w : 

" berhati-hatilah kalian daripada godaan dunia dan waspadailah terhadap wanita, sebab fitnah pertama yang menimpa bani israel adalah fitnah wanita " ( HR MUSLIM)

dalam sebuah hadis lain lagi Nabi s.a.w bersabda :

" tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya daripada seorang lelaki daripada fitnah wanita" (HR BUKHARI)

Bila sebut wanita ini fitnah, bukanlah bermaksud wanita itu jahat dan suka kepada keburukan. Tidak. Tetapi sebenarnya yang dimaksudkan ialah keadaan mereka mampu menjadikan lelaki lupa dan lalai jika mereka tidak memahami dan tidak berhati-hati.  Namun seandainya kita kaum hawa mampu menjaga diri sebaiknya mengikut acuan Islam dan syariat Islam, insyaAllah kita bukan sahaja mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan ummah tapi mampu melahirkan syabab dan mujahid yang hebat insyaAllah.

Sebab itu juga biasa kita akan dengar pepatah " dibelakang seorang lelaki yang berjaya, pasti ada seorang wanita yang hebat"

Ayuh saya nak ajak semua tidak kira kaum hawa ataupun kaum adam, kita telusuri kisah kehidupan seorang wanita yang kehidupannya banyak dijadikan tulang belakang seorang lelaki yang cukup hebat.

Siapakah wanita itu? 

Sudah pasti dialah Saidatina Khadijah Binti Khuwailid r.a. , isteri tercinta Rasulullah s.a.w


Mengapa saya ingin bawakan kepada semua kisah wanita ini? Kerana hakikatnya juga, wanita-wanita pada hari ini lebih menjadikan artis-artis sebagai idola dan pujaan hati dalam diri mereka untuk dicontohi.

"Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan darinyalah aku mendapatkan keturunan."

MasyaAllah, begitulah Rasulullah s.a.w berkata tentang keperibadian Khadijah r.a,. Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam.

Siti Khadijah r.a berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang cukup banyak serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas. Bukan sekali atau dua kali pemuda kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya. Tetapi pilihannya justeru jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad s.a.w, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh kekayaan dan kecantikan yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah r.a

Saidatina Khadijah r.a merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan RasulNya. Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah. Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah s.a.w. 

Adakah kita wanita dan para isteri di luar sana mencontohi sebagaimana peribadi Ummul Mukminin ini? Sanggup bersusah-payah bersama suami meskipun seorang yang kaya-raya. Dan adakah kita kaum hawa yang kelak juga mungkin bergelar isteri, sudah bersedia mencontohi peribadi Ummul Mukminin ini?

Apabila ditanya tentang Siti Khadijah r.a atas pemergiannya, Rasulullah s.a.w menjawab, "Ya! Sesungguhnya Khadijah adalah pentadbir dan suri rumah yang terbaik."

Buat saya dan semua yang membaca, apakah kita mampu menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira' seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya? Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh. Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya. Persoalannya, dapatkah kita jika sebagai suami dan isteri berlaku demikian untuk diri dan tugas masing-masing?

Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata,
 " Wahai suamiku, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kamu adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab. Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah."

Sememangnya, wanita-wanita yang begitu tinggi darjatnya dalam Islam dalam lipatan sejarah suatu masa dahulu semakin dilupakan.


Kesetiaan yang mendorong kegigihan

Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran kesetiaan Khadijah yang telah membina kekuatan pada diri dan kehidupan penegak risalah Islam itu. Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah s.a.w, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah s.a.w agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang.

Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah s.a.w, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.

Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah s.w.t. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Allah Maha Adil dalam memberi rahmatNya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan. 

Firman Allah yang bermaksud:

"Barang siapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." (An-Nahl: 97)

Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah s.a.w, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua. Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang soleh wa solehah. Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah s.a.w merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT. Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.


Allahu Akbar * menangis *


Ayuh muslimah, mungkin tak mudah tapi marilah kita berusaha untuk mencuba mencontohi Khadijah r.a serta berusaha untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Kerana saya percaya bidadari itu memang wujud di dunia. Itulah dia wanita solehah  * senyum *

Semoga Allah redha.






Friday 6 June 2014

Wanita solehah






Wahai muslimah sayang, tahukah dikau betapa Allah dan Rasul sangat memuliakanmu?
Tahukah dikau bahawa Islam mengangkat darjatmu di tempat yang istimewa?

Betapa susah payahnya Rasulullah s.a.w dan para sahabat menegakkan syiar Islam.
Kerana Itu wanita yang dulunya ( sebelum kedatangan Islam) dianggap pembawa malang, wanita dihina bahkan ditanam dan dibunuh hidup-hidup.

Namun setelah datangnya Islam, Allah mengangkat darjat wanita di tempat yang mulia sehingga di antara khutbah terakhir Rasulullah s.a.w baginda berpesan :

" Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik,berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia.Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. "

Lihatlah, betapa kasihnya Rasulullah kepada kita, jika kita sayangkan baginda, jika hargai perjuangan dan pengorbanan baginda, maka sayangilah diri kita dengan melaksanakan perintah Allah.



Wahai Muslimah, bentenglah dirimu dengan sifat malu.
Berusahalah untuk menutup auratmu dengan sempurna.
Ukhti sayang, suatu hari nanti kita akan dibalut dari hujung kepala hingga hujung kaki.
tolong, jangan jadikan itu hari pertama aurat kita tertutup dengan sempurna!

Sesungguhnya cantik dalaman kerana iman dan akhlak yang indah, cantik luaran kerana aurat yang ditutp dengan sempurna.

Labuhkanlah sedikit tudung itu sayang, sehingga ianya menutupi dadamu. Dengan itu kamu akan terpelihara dari menjadi bahan tatapan lelaki yang punya penyakit hati.

Ukhti sayang, stokin tu tak berat namun ketahuilah ianya mampu menutup keaibanmu. Sarungkan stokin di kakimu, nescaya kamu akan kelihatan sangat cantik. Bukan semata cantik di mata manusia, tapi cantik dimata Allah. 



Ukhti sayang, sungguh dirimu cukup cantik, bahkan tersangat cantik. Maka simpanlah segala gambar yang keterlaluan hanya buat tatapan insan yang halal untukmu.

Bila maruahmu engkau pelihara, auratmu engkau tutup sempurna, akhlak peribadi dan pergaulan engkau jaga, InsyaAllah engkau akan lebih dihormati.


Sungguh nak jadi muslimah sejati tak mudah,
Mukminah lagi susah,
Mujahidah juga payah,
Istiqamah lagi lah payah,

Namun....

Susah payah itu jangan kau endah,
Kau harus gagah,
Harus tabah,
Demi Allah
Demi Rasulullah
Kerana akhir itu pasti indah ! :')

Diriku...
Bukan bidadari yang turun daripada syurga,
Aku tidak sempurna bahkan penuh dengan dosa,
Aku yang sederhana dengan apa yang dipunya,
Aku tak semulia  Khadijah r.a,
Tidak setaqwa Aisyah r.a,
Tidak selembut Fatimah r.a,
Tapi, itu bukan alasan. Aku akan belajar untuk jadi seperti mereka,
Aku hanya wanita akhir zaman yang berusaha untuk menjadi lebih baik.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Apabila seorang wanita itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)


Muslimah sayang...

Al'maratul solehah khairun mina dunya wa ma fiha. Wanita solehah itu lebih baik dari dunia dan isinya.

" Dan dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah" (HR.Muslim )

Dirinyalah bidadari bumi, dirinyalah wanita solehah yang keberadaan dirinya lebih baik dan bererti dari seluruh isi alam ini. MasyaAllah.

Buat yang telah pun berhijrah menutup aurat dengan sempurna, alhamdulillah saya doakan semoga kita istiqamah dan sentiasa dalam naunganNYA.

Buatmu Muslimah...

Tak perlu nak diheboh -heboh yang kau muslimah bertudung labuh,
Tak perlu nak diheboh -heboh yang kau seorang muslimah berpurdah,
Gambarmu tak perlu ditayang-tayang, menjadi tatapan yang bukan mahram.
Gambarmu sebaiknya disimpan, menjadi tatapan yang layak pandang.


Jika hijrahmu kerana Allah,
Tak kau hiraukan pujian orang,

Jadilah muslimah yang mengejar jannah, bukannya mengejar dunia yang mewah.

Jadilah muslimah yang menjaga maruah, seorang yang tabah, seorang muslimah yang solehah.. ^_^


Jom sayang jadi solehah. Semoga Allah redha.