Wednesday 11 June 2014

PERSIAPAN MENUJU BAITUL MUSLIM








Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah segala puji serta syukur kepada Allah swt. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w, Allahumma solli 'ala Muhammad.

Semoga semua sentiasa dalam lindungan rahmat dan kasih sayangNYA.


“Maha suci Allah yang menjadikan semua berpasangan, baik dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) mahupun dari sesuatu yang mereka tidak mengetahui.”
(Yaasin: 36)

Maha suci Allah yang menciptakan makhluknya berpasang-pasangan. Ayat di atas menjelaskan bahawa janji Allah itu benar. Setiap makhluk diciptakan dengan pasangan masing-masing. Bila dan dimana seorang itu bertemu dengan pasanganya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Mungkin di dunia, mungkin juga diakhirat.  Antara tauladan yang boleh kita ambil daripada Rasulullah s.a.w adalah bagaimana baginda membina sebuah keluarga yang mawaddah sakinah dan rahmah. Baginda s.a.w seorang suami yang begitu bertanggungjawab kepada ahli keluarganya. Sama ada dalam memberi nafkah zahir atau batin. Lebih-lebih lagi dalam mencurah ilmu agama kepada isteri dan anak-anak. 

" Gagal merancang bagaikan merancang kegagalan"


Apabila kita tidak melatih diri membuat perancangan dalam hidup ini, sudah pasti kita akan rugi. Sebaliknya manusia yang merancang perjalanan hidupnya dengan baik, dia mampu melakukan sesuatu dengan lebih efektif, berhemah tinggi, bersemangat waja, fikiran yang matang dan emosi yang seimbang. Ayuh kita latih diri kita merancang kehidupan termasuk merancang dalam membina sebuah baitul Muslim. Sebuah keluarga tidak bahagia dengan sendirinya tanpa persiapan yang baik dan mantap. Apa pun hakikatnya Allah jualah sebaik-baik perancang!





Memang setiap daripada kita mengimpikan sebuah rumah tangga yang indah " Baiti Jannati, Rumahku Syurgaku". Tetapi demi mencapai keluarga yang diberkati tidaklah semudah mengukir senyuman manis di bibir. Sedangkan mengukir senyuman pun masih sukar bagi  sesetengah orang. Sebab itu perlunya persiapan daripada segi mental dan ilmu dengan secukupnya. 


Maka, faktor utama yang paling penting perlu ditanam pada awal perkahwinan adalah memperbetulkan niat dengan seikhlasnya semata-mata kerana Allah. Niatkanlah mahligai perkahwinan sebagai satu ladang amal, janganlah berkahwin kerana nafsu semata ataupun kerana alasan yang lain yang tidak ada kaitan dengan agama sehingga mengaburi hikmah pernikahan yang ditetapkan oleh Allah.


Selain itu, niatkanlah ikatan pernikahan sebagai jalan bagi menyempurnakan ibadah kita kepada Allah. Sebab itu pentingnya setiap daripada pasangan yang ingin membina masjid supaya lebih serius dalam perbetulkan niat terlebih dahulu. Namun tidaklah terlambat bagi mereka yang sudah berkahwin, jika mungkin ada yang sudahpun berkahwin membaca tulisan saya ini, teruslah perbaiki dan perbetulkan niat dan membina kesungguhan diri dalam melayari bahtera rumah tangga. Saya doakan semoga Allah berkati pernikahan yang telah kalian bina.


Dari sinilah kita perlu menyedari bahawa sebelum melangkah ke alam pernikahan, kita perlu buat persiapan semaksimum mungkin. Kerana sesungguhnya sebuah persiapan yang baik insyaAllah akan mampu membuahkan hasil yang baik juga.


Dalam membuat persiapan kita juga tidak sepatutnya sekadar menumpukan pada proses perkahwinan sahaja. Kenapa dan mengapa?





Ini kerana kita belum tentu lagi dapat berkahwin. Siapa sangka walaupun persiapan sudah cukup, tiba-tiba ajal tiba sebelum sempat mengecap hari-hari bahagia rumah tangga. Kerana sesungguhnya bernikah dengan manusia itu belum pasti, tapi bernikah dengan kematian itu sudah pasti. Jadi elakkan diri terlalu sibuk dengan memikirkan hari perkahwinan, kerana tiada siapa yang dapat menduga ajal menjemput kita sebelum pernikahan berlansung.


Apa yang perlu kita fikirkan adalah sentiasa bersiap sedia jika kelak kita ditakdirkan berkahwin. Tidak juga semestinya menunggu bertemu calon baru hendak mempersiapkan diri. Bahkan sekarang, saat ini meski belum bertemu jodoh kita harus persiapkan diri. Umpama seangkatan tentera di Malaysia contohnya, beribu jumlahnya, tapi tidak semua yang akan pergi berperang, hanya sebahagian sahaja namun setiap masa kesemua mereka akan sentiasa mempersiapkan diri. 


Begitu juga halnya dalam membuat persiapan perkahwinan. Oleh itu apa persiapan yang sepatutnya? Ibarat hendak mendirikan sebuah bangunan, perkara utama yang perlu adalah perancangan rapi, pembiayaan yang secukupnya, bahan-bahan pembangunan dan lain-lain. Dalam mendirikan rumah tangga, kita perlu persiapkan diri kita menjadi hamba Allah yang terbaik, bersedia menghadapi dan menerima siapapun jodoh kita kelak, kerana sudah pasti dia memiliki ciri-ciri yang berbeza dengan kita. Kedua orang tuanya, latar belakangnya bahkan hobinya mungkin juga berbeza. Bahkan mungkin banyak lagi perbezaan yang belum kita ketahui. 


Mungkin hanya sekadar ini yang mampu saya kongsikan berkaitan baitul Muslim. Hanya sekadar perkongsian dalam persediaan dan persiapan awal. Kerana saya juga masih belum mendirikan rumah tangga, mana mungkin untuk saya bercerita bahkan mungkin cuba untuk berimiginasi terlalu tinggi berkaitan perkahwinan, sekalipun saya mencuba saya percaya ianya belum pasti mampu memberi rasa atau menyentuh hati kerana saya belum masuk menempuhnya lagi. InsyaAllah satu hari kelak jika jodoh saya di dunia maka akan muncul la perkongsian baitul muslim seterusnya berkaitan kehidupan di alam rumah tangga pula.




" Ya Tuhan kami, anugerahlah kepada kami, isteri dan zuriat yang menyejukkan mata, dan jadikanlah kami, imam bagi orang yang bertakwa".
 (Al-Furqan ayat 74).


Apa pun nasihat saya buat semua yang masih belum bertemu jodoh, bersabarlah, teruskan menjaga hati, belajar dan terus belajar. Doakan selalu buat jodohmu meski kita tidak tahu dia siapa dan dimana. 


salah kah mereka yang berdoa agar dipertemukan jodoh? gedik ka mereka yang selalu berfikir dan berusaha untuk mendapatkan jodoh?


Masih ada segelintir manusia yang berfikiran jumud dalam hal ini. Menganggap mereka yang berdoa dan berfikir mengenai jodoh ini tidak sepatunya berbuat  demikian. Sama sekali bukan begitu. Lupakah kita bahawa pernikahan itu juga satu ibadah? lupakah kita bahawa berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang baik itu satu tuntutan agama?

Biarlah mereka berdoa dan terus berdoa atau berfikir berkaitan jodoh. Kerana kita tidak pernah tahu berkemungkinan pernikahan itu nanti akan menjadikan mereka insan terbaik dalam beramal dan beribadah kepada Allah. Siapa kita untuk menilai?

Tapi tegurlah dan bimbinglah agar selari dengan tuntutan agama, dan jangan berlebih-lebihan sehingga terbuaian dek lamunan dan khayalan fantasi cinta buatan yang belum pasti, apatahlagi sehingga membuat kita lupa kepada Allah dan hari akhirat. Berdoa pada tempatnya, yakni tadah tangan dan sujud di tikar sembahyang. Bukan berdoa di muka buku dan merintih di sepanjang wall facebook.


" Tiada cinta paling selamat melainkan selepas diijab qabulkan. Dan tiada cinta paling abadi dan paling tinggi melainkan cinta kepadaNYA "


Jadilah anak yang soleh dan solehah terlebih dahulu. Yang perempuan jaga diri dan maruah diri elok-elok, biar kelak jadi seorang isteri yang bijaksana dalam setiap tingkah laku dan bicara. Yang lelaki belajar dan terus belajar ilmu dunia dan agama, selain itu usahalah untuk 'cipta kerja' atau kukuhkan kewangan juga, bukan kerana perempuan atau sesebuah keluarga perempuan itu materialistik. Tidak, sungguh hanya bimbingan dari seorang suami yang boleh membawanya ke syurga itu yang didambakan oleh setiap wanita.Tetapi melalui usaha kamu dalam adanya perancangan terhadap kewangan itu menunjukkan yang kamu seorang lelaki yang ada rasa tanggungjawab dan bersungguh-sungguh untuk mendirikan rumah tangga.






" Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar  kahwin la. 

Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. 

Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la.

 Benda yang baik, jangan dilambatkan dan jadilah pasangan muda yang Bercinta Selepas Nikah.

*faktor usia bukan penghalang, jika sudah bersedia. "



" Jika belum mampu membuat syaitan menangis, jangan kita buat mereka ketawa "


" Cintailah Allah, insyaAllah kita akan akan dicintai oleh mereka yang juga mencintai Allah "


Semoga Allah redha.














2 comments:

  1. Semoga kita beroleh keberkatan dariNya..


    Jemput Join "Segar bersama Fresh Care dan Safe Care Giveaway by EJulz" kalau belum join.. tQ

    Like page "Ejulz Blogshop" jika sudi.. Terima kasih

    ReplyDelete
  2. insyaallah :) http://iolacaviarofficial.blogspot.com/

    ReplyDelete