Sunday 8 June 2014

HAWA DIRIMU ADALAH FITNAH?







Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, Allahumma solli 'ala Muhammad

Segala puji bagi Allah atas segala nikmat terutamanya nikmat iman dan Islam yang kecapi pada hari ini.

Kalau dalam entry sebelum ini saya berkongsi perihal wanita, insyaAllah kali ini sekali lagi ingin menyentuh sedikit soal wanita. Moga-moga semua yang membaca termasuklah saya sendiri mampu mengambil pengajaran, peringatan dan manfaat daripada apa yang akan saya kongsikan. Sungguh apa yang saya coretkan kali ini adalah berdasarkan beberapa rujukan yakni bahan bacaan. Sekiranya ada sebarang kesilapan mohon perbetulkan saya.

------------------------------------------------------------------------------------------





Hawa, dirimu adalah fitnah?

Bila sentuh soal ini, saya yakin pasti ramai yang tahu tentang fitnah ini, tapi fitnah kita sebagai manusia (an-nas ) yang juga membawa maksud pelupa. Kita selalu lupa tentang hal ini, malah kadang buat-buat lupa.

Dalam dunia akhir zaman ini, dunia yang penuh dengan kemajuan ini, kita akan dapati wanita juga seiring bersama kebangkitan dan kemodenan. Tetapi, jika kita cakna kita akan lihat dan dapati ada segelintir kaum hawa yang mencampakkan diri mereka ke dalam fitnah sama ada sedar atau tidak sedar. Terutamanya terhadap agama kita sendiri.

Said ibn al-musayyab berkata ”setiap kali syaitan berputus asa mengganggu seseorang maka dia akan melancarkan gangguannya melalui wanita”

Sabda Rasulullah s.a.w : 

" berhati-hatilah kalian daripada godaan dunia dan waspadailah terhadap wanita, sebab fitnah pertama yang menimpa bani israel adalah fitnah wanita " ( HR MUSLIM)

dalam sebuah hadis lain lagi Nabi s.a.w bersabda :

" tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya daripada seorang lelaki daripada fitnah wanita" (HR BUKHARI)

Bila sebut wanita ini fitnah, bukanlah bermaksud wanita itu jahat dan suka kepada keburukan. Tidak. Tetapi sebenarnya yang dimaksudkan ialah keadaan mereka mampu menjadikan lelaki lupa dan lalai jika mereka tidak memahami dan tidak berhati-hati.  Namun seandainya kita kaum hawa mampu menjaga diri sebaiknya mengikut acuan Islam dan syariat Islam, insyaAllah kita bukan sahaja mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan ummah tapi mampu melahirkan syabab dan mujahid yang hebat insyaAllah.

Sebab itu juga biasa kita akan dengar pepatah " dibelakang seorang lelaki yang berjaya, pasti ada seorang wanita yang hebat"

Ayuh saya nak ajak semua tidak kira kaum hawa ataupun kaum adam, kita telusuri kisah kehidupan seorang wanita yang kehidupannya banyak dijadikan tulang belakang seorang lelaki yang cukup hebat.

Siapakah wanita itu? 

Sudah pasti dialah Saidatina Khadijah Binti Khuwailid r.a. , isteri tercinta Rasulullah s.a.w


Mengapa saya ingin bawakan kepada semua kisah wanita ini? Kerana hakikatnya juga, wanita-wanita pada hari ini lebih menjadikan artis-artis sebagai idola dan pujaan hati dalam diri mereka untuk dicontohi.

"Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan darinyalah aku mendapatkan keturunan."

MasyaAllah, begitulah Rasulullah s.a.w berkata tentang keperibadian Khadijah r.a,. Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam.

Siti Khadijah r.a berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang cukup banyak serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas. Bukan sekali atau dua kali pemuda kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya. Tetapi pilihannya justeru jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad s.a.w, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh kekayaan dan kecantikan yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah r.a

Saidatina Khadijah r.a merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan RasulNya. Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah. Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah s.a.w. 

Adakah kita wanita dan para isteri di luar sana mencontohi sebagaimana peribadi Ummul Mukminin ini? Sanggup bersusah-payah bersama suami meskipun seorang yang kaya-raya. Dan adakah kita kaum hawa yang kelak juga mungkin bergelar isteri, sudah bersedia mencontohi peribadi Ummul Mukminin ini?

Apabila ditanya tentang Siti Khadijah r.a atas pemergiannya, Rasulullah s.a.w menjawab, "Ya! Sesungguhnya Khadijah adalah pentadbir dan suri rumah yang terbaik."

Buat saya dan semua yang membaca, apakah kita mampu menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira' seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya? Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh. Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya. Persoalannya, dapatkah kita jika sebagai suami dan isteri berlaku demikian untuk diri dan tugas masing-masing?

Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata,
 " Wahai suamiku, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kamu adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab. Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah."

Sememangnya, wanita-wanita yang begitu tinggi darjatnya dalam Islam dalam lipatan sejarah suatu masa dahulu semakin dilupakan.


Kesetiaan yang mendorong kegigihan

Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran kesetiaan Khadijah yang telah membina kekuatan pada diri dan kehidupan penegak risalah Islam itu. Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah s.a.w, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah s.a.w agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang.

Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah s.a.w, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.

Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah s.w.t. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Allah Maha Adil dalam memberi rahmatNya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan. 

Firman Allah yang bermaksud:

"Barang siapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." (An-Nahl: 97)

Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah s.a.w, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua. Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang soleh wa solehah. Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah s.a.w merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT. Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.


Allahu Akbar * menangis *


Ayuh muslimah, mungkin tak mudah tapi marilah kita berusaha untuk mencuba mencontohi Khadijah r.a serta berusaha untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Kerana saya percaya bidadari itu memang wujud di dunia. Itulah dia wanita solehah  * senyum *

Semoga Allah redha.






No comments:

Post a Comment